MUMTAZ (kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima zakat dari Madrasah Al Insaniah, Bachok selepas menyampaikan sumbangan.
MUMTAZ (kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima zakat dari Madrasah Al Insaniah, Bachok selepas menyampaikan sumbangan.
Hazira Ahmad Zaidi

“ALHAMDULILLAH, wang zakat ini boleh saya kongsi bersama adik untuk membeli baju raya kami nanti,” kata Nik Adlen Natasya Nik Mohd Asmande, 13, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa di sini.

Menurut pelajar Tingkatan Satu itu, pada Aidilfitri tahun lalu, dia dan adiknya, Nik Fahrish Iskandar, 6, hanya memakai sepasang baju raya yang disumbangkan individu yang bermurah hati.

Katanya, ketika ayahnya masih ada, kelengkapan hari raya disediakan ala kadar sahaja, namun cukup bermakna dan tahun lalu mereka hanya mengharapkan simpati orang kerana tidak mahu membebankan ibunya, Haslina Sukarto, 33.

“Selepas ayah meninggal dunia September tahun lalu disebabkan serangan jantung, hanya ibu yang menyara kehidupan kami sekeluarga dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan.

“Pada hari biasa, upah yang diperolehi ibu antara RM15 hingga RM30 sehari, namun sepanjang Ramadan ibu tidak bekerja.

“Makan, minum kami untuk bersahur dan berbuka hanya mengharapkan sumbangan zakat yang diberikan orang ramai dan dalam masa sama perlu berjimat cermat,” katanya ketika ditemui di Majlis Sumbangan Anak Yatim.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi di Madinah Ramadan di sini, kelmarin.

Anak sulung daripada dua beradik ini berkata, kepayahan ibunya mencari rezeki selepas ayahnya meninggal menyebabkan mereka tidak pernah meminta apa-apa, cukuplah sekadar makan, minum dan pakai mereka terjaga.

“Saya akan serahkan wang zakat ini kepada ibu untuk membeli baju raya,” katanya.

Seorang lagi penerima zakat, Muaz Mohamad, 12, dari Madrasah Al Insaniah, Bachok berkata, selepas ayahnya meninggal dunia empat tahun lalu disebabkan serangan jantung, ibunya terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Saya mempunyai enam adik beradik berusia antara lima hingga 14 tahun dan kesemuanya masih bersekolah.

“Demi meneruskan kelangsungan hidup kami, ibu membuat kuih dan diletakkan di kedai berhampiran rumah setiap hari sepanjang Ramadan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Islam (JPI) Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Ropein Hasan berkata, seramai 350 penerima dari sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan MPKB-BRI menerima zakat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 6:15 AM