LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan negeri menjelaskan permohonan Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz untuk menggunakan perkhidmatan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) bagi majlis perkahwinan dua anaknya Sabtu lalu, tidak membabitkan penyalahgunaan kuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, sebaliknya berkata permohonan itu adalah prosedur biasa.

"Tidak (membabitkan penyalahgunaan kuasa). Ia permohonan biasa.

"Sesiapa pun boleh membuat permohonan, ada bayaran dikenakan sekiranya khemah masih ada," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketika ditanya sama ada permohonan Nik Mohamad Abduh diluluskan oleh MPKB-BRI, Dr Izani berkata, permohonan itu tidak diluluskan.

"Rasanya tidak lulus, Nik Abduh guna khemah swasta yang tiada di MPKB-BRI jenis itu.

"Menjadi hak sesiapa saja untuk memohon, tetapi yang meluluskan adalah MPKB-BRI," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tular sepucuk surat daripada Nik Mohamad Abduh yang memohon kemudahan tertentu daripada pihak MPKB.

Surat bertarikh 20 September lalu itu antara lain meminta MPKB menyediakan meja, kerusi, hiasan bunga dan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal untuk majlis anaknya.

Nik Mohamad Abduh semalam memuat naik status berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menerima permohonannya untuk melancarkan majlis perkahwinan dua anaknya serta jamuan rakyat, Sabtu lalu.

Beliau dipetik berkata, bantuan itu bagi melancarkan majlis terutama dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu lintas yang agak sesak pada waktu puncak.

Berita berkaitan:

  • Nik Abduh akui mohon kemudahan majlis perkahwinan anak, jamuan rakyat
  • MPKB-BRI akui terima surat Nik Abduh
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 2:06 PM