GULAM Muszaffar (dua kanan) bersama penduduk berbincang mengenai notis diterima daripada DBKL bagi mengambil alih pengurusan dewan di Dewan PKNS Jalan Kucing. FOTO Rosdan Wahid
GULAM Muszaffar (dua kanan) bersama penduduk berbincang mengenai notis diterima daripada DBKL bagi mengambil alih pengurusan dewan di Dewan PKNS Jalan Kucing. FOTO Rosdan Wahid
Yusmizal Dolah Aling


PENTADBIR dewan serba guna di tiga kawasan parlimen iaitu Batu, Kepong dan Wangsa Maju buntu memikirkan nasib mereka selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis penyelarasan untuk mengambil alih premis berkenaan.

Mereka yang kebanyakannya pengasas 350 dewan di sekitar ibu negara itu menganggap ia satu tindakan tidak wajar kerana ada yang mengeluarkan wang saku sendiri untuk membiayai operasi serta kos utiliti.

Wakil pentadbir, Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim berkata, mereka menerima Notis Pentadbiran Penyerahan Dewan dua minggu lalu atas alasan bagi memastikan status dewan selamat serta selesa digunakan untuk program kemasyarakatan.

Katanya, sebelum ini, semua dewan berkenaan diuruskan sendiri pentadbir serta pemimpin setempat dan ada yang memohon sumbangan daripada pihak berkuasa tempatan untuk program tertentu.

“Ini yang saya dan pentadbir keliru. Dulu kita sediakan dewan ini atas inisiatif sendiri, mengapa sekarang timbul isu mahu ambil balik.

“Kami masih lagi pentadbir yang sah. Bil elektrik dan air pun masih nama kami, bagaimana timbul isu ini. Jadi kita minta DBKL beri penjelasan. Kami mahu kekal sebagai pentadbir atau diberikan pampasan. Roboh rumah setinggan pun ada pampasan, inikan pula dewan kegunaan masyarakat setempat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pentadbir hari ini.

Gulam Muszaffar berkata, pihaknya tidak dirujuk kepada sebarang perbincangan untuk pengambilalihan itu dan hanya dimaklumkan menerusi notis bertarikh 27 Mac 2019.

Katanya, pihaknya akan mendapatkan nasihat peguam dalam isu ini kerana DBKL tidak mempunyai locus standy untuk meminta pentadbir menyerahkan kunci sedangkan ia bukan hak pihak berkuasa terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk Taman Melewar Mejar (B) Mokhtar Mohd Salleh berkata, sekiranya pihak berwajib tetap mahukan dewan di tempatnya, dia mahukan pampasan dan ganti rugi berjumlah lebih RM90,000.

“Saya teroka dan buka dewan ini semata-mata untuk kegunaan penduduk pada 1989. Bukan saja dewan, kita juga buat pendawaian yang teratur untuk kegunaan bersama.

“Tindakan DBKL juga seolah-olah menafikan kami sebagai pentadbir sedia ada. Walaupun di tempat lain ada rakan-rakan yang serahkan, saya tidak akan berbuat demikian kerana ada hak.

“Setidak-tidaknya bincang dulu dengan pentadbir lain, bukan hanya beri notis. Saya akan berikan kerjasama terbaik kepada peguam agar isu ini dapat diadili sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL Norhaslinda Nordin berkata, pihaknya membuat penyelarasan berkenaan daripada makluman penduduk mengenai aktiviti dewan yang tidak digunakan sepenuhnya.

Katanya, DBKL memanggil pentadbir serta pengendali dewan untuk berbincang dan ia masih berjalan sehingga keputusan muktamad dicapai.

“Dewan ini terletak di atas tanah DBKL dan kerajaan. Jadi kita minta jasa baik untuk mereka serahkan. Mengenai pampasan, ia bergantung kepada apa yang mereka minta. Kita masih berunding,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 6:25 PM