Dr Xavier (tiga dari kanan) meninjau kerja pembaikan tiga paip utama berhampiran projek pembinaan lebuhraya WCE Banting-Taiping yang pecah hujung minggu lalu. Foto Roslin Mat Tahir
Dr Xavier (tiga dari kanan) meninjau kerja pembaikan tiga paip utama berhampiran projek pembinaan lebuhraya WCE Banting-Taiping yang pecah hujung minggu lalu. Foto Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini


KERAJAAN mengarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk memulakan siasatan terhadap insiden tiga paip utama pecah berhampiran projek pembinaan lebuh raya West Coast Expressway (WCE) pada 4 Mei lalu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, siasatan itu penting bagi melihat punca dan langkah sewajarnya bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.

Menurutnya, beliau juga akan meminta jabatan berkaitan seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMGM) untuk membantu siasatan serta meninjau lokasi terbabit dengan tumpuan kepada pergerakan tanah.

“SPAN sudah mulakan siasatan itu dan kita kena tunggu sehingga siasatan selesai,” katanya kepada media selepas meninjau keadaan di lokasi kejadian di Klang, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Xavier berterima kasih kepada Air Selangor dan kontraktor yang bertungkus-lumus membaiki paip berkenaan selama tiga hari bagi membolehkan bekalan air dapat disalurkan kepada penduduk terjejas di Klang.

“Saya faham sekarang ini Ramadan dan air penting untuk umat Islam, saya harap selepas ini tidak ada gangguan dan kita akan dapat meneruskan kerja untuk membaik pulih kawasan ini.

“Tetapi jika ada berlaku sebarang kejadian dalam tempoh 12 jam ini saya minta Air Selangor maklumkan kepada saya dan kita boleh tengok keadaan serta apa yang boleh dilakukan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyatakan bekalan air akan disalurkan secara berperingkat mulai petang ini sehingga tempoh 24 jam berikutan kerja baik pulih paip berkenaan yang sudah selesai.

Berita berkaitan

Bekalan air disalur secara berperingkat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 8:54 PM