Iskandar Shah Mohamed


SELEPAS empat tahun ditutup hentian bas Terminal 17, Seksyen 17, Shah Alam kembali dibuka kepada orang awam hari ini.

Terminal itu ditutup sejak Disember 2014 bagi kerja pengubahsuaian dibuka semula 12 tengah malam tadi.

Terminal baharu di Seksyen 17 itu kini dilengkapi dengan sistem tiket berpusat dan paparan skrin maklumat destinasi bagi kemudahan pengguna.

Penumpang, Norasmah Kassim, 32, berkata, kemudahan di terminal itu sememangnya jauh lebih moden dan selesa berbanding hentian sementara sebelum ini.

“Kini, pembelian tiket dilihat lebih mudah kerana penumpang tidak perlu beratur di kaunter syarikat bas tertentu.

“Selain itu, setiap bas akan menunggu dalam kawasan terminal jadi penumpang tidak perlu berjalan jauh,” katanya.

Ibu kepada dua anak itu berkata, kemudahan paparan skrin mengenai ketibaan dan pelepasan bas mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penumpang.

PENUMPANG mula menggunakan perkhidmatan bas di Terminal Bas 17. FOTO Roslin Mat Tahir.
PENUMPANG mula menggunakan perkhidmatan bas di Terminal Bas 17. FOTO Roslin Mat Tahir.

“Selain itu, lokasi terminal ini memang sudah sinonim dengan warga Shah Alam sejak sekian lama dan bersyukur ia kembali beroperasi,” katanya yang berasal dari Bera, Pahang.

Seorang lagi penumpang, Affan Roslan, 28, bekerja di Kuantan, Pahang berkata, terminal itu menjadi pilihannya kerana terletak berhampiran dengan kediaman keluarganya di Seksyen 9.

“Sebelum ini, keadaan di hentian sementara di Seksyen 13 agak tidak teratur, kerusi tak cukup dan panas.

“Bangunan terminal baru ini memang selesa dan dilengkapi kemudahan surau serta medan selera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, pihaknya meminta orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan bas ekspres supaya terus ke Terminal 17.

“Semua perkhidmatan di Seksyen 13 dihentikan sepenuhnya kepada umum bermula hari ini.

“Terminal itu akan dirasmikan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam tempoh terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 4:37 PM