KUALA LUMPUR 29 APRIL 2019. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berehat seketika sebelum menyambung perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
KUALA LUMPUR 29 APRIL 2019. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berehat seketika sebelum menyambung perbicaraan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah


SAKSI mengesahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Gandingan Mentari Sdn Bhd yang juga anak syarikat SRC International Sdn Bhd disenaraikan sebagai akaun ‘berisiko tinggi’.

Pengurus Ambank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi memberi penjelasan itu ketika menjawab soalan balas peguam Harvinderjit Singh ketika prosiding perbicaraan kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

HARVINDERJIT: Apakah yang dimaksudkan dengan syarikat berisiko tinggi?

UMA DEVI: Syarikat yang menguruskan wang yang banyak dan firma guaman. Ini antara kriteria syarikat yang ditandakan sebagai berisiko tinggi.

HARVINDERJIT: Bagaimana anda tahu sesebuah syarikat itu sebagai berisiko tinggi jika tidak melihat kepada sejarah transaksi jika ia membabitkan syarikat baru? (Merujuk kepada Gandingan Mentari).

UMA DEVI: Walaupun tanpa sejarah transaksi, ia boleh diperiksa melalui sistem berdasarkan beberapa faktor dan kategori perniagaan.

HARVINDERJIT: Apakah perbezaan jika sesuatu akaun ditandakan sebagai berisiko tinggi?

UMA DEVI: Oleh itu akan ada pemantauan daripada Jabatan Pematuhan dan ia akan diteliti secara berterusan.

Sementara itu menjawab soalan Harvinderjit, Uma Devi mengesahkan bahawa butiran akaun yang disimpan oleh pihak bank adalah selamat dan tidak boleh diganggu kecuali daripada seseorang dalam bank itu.

Saksi pendakwaan ke-21 berkata demikian pada prosiding hari ke-10 di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Sementara itu, isu berkaitan wang US$620 (kira-kira RM 2.03 bilion) yang didakwa dipulangkan semula Najib kepada pendermanya menarik perhatian apabila pertama kali disebut pada perbicaraan kes berkenaan.

Wang itu dikatakan sebahagian daripada derma RM2.6 bilion yang didakwa diterimanya kepada keluarga diraja Arab Saudi.

Isu itu dibangkitkan ketika Harvinderjit menyambung untuk menyoal balas Uma Devi.

Harvinder turut membacakan kepada Uma Devi surat dikatakan arahan untuk pemulangan wang berkenaan bertarikh 30 Julai 3013.

“I convey to you (Ambank) the instruction to convert funds in the current account of US$620 million, and to remit the foreign currency in a single transfer of personal gift I received per the authorisation letter.

(Saya menyampaikan kepada kamu (Ambank) arahan untuk menukar dana dalam akauan semasa, US$620 juta dan memasukkan pindahan wang asing dalam satu pindahan derma peribadi yang saya terima seperti dalam surat kebenaran ini), ” katanya.

Najib sebelum ini terpalit dengan kontroversi berhubung derma RM2.6 bilion yang didakwa diterimanya kepada keluarga diraja Arab Saudi.

Bagaimanapun, bekas Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, pada Ogos 2013, sejumlah wang RM2.03 bilion (AS$620) dikembalikan kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

Prosiding bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 8:18 PM