Iskandar Shah Mohamed


CUBAAN lelaki warga Indonesia menyeludup lapan kilogram (kg) syabu menggunakan bungkusan teh Cina gagal apabila dicekup polis di sebuah hotel bajet di Pelabuhan Klang, Klang, kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia 33 tahun itu menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum membawa keluar dadah berkenaan ke negaranya.

Ia berikutan syabu dipercayai mendapat permintaan di Indonesia dan harga pasarannya tiga kali ganda lebih tinggi berbanding di negara ini.

Kegiatan licik suspek bagaimanapun dihidu pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang menyerbu bilik hotel disewanya pada 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang memiliki dokumen perjalanan sah itu memasuki negara ini menggunakan feri sejak 18 April lalu.

“Bertindak atas maklumat dan risikan berkaitan aktiviti penyeludupan dadah, polis menyerbu bilik hotel disewa suspek.

“Hasil pemeriksaan menemui lapan bungkusan teh Cina mengandungi dadah disyaki syabu seberat 8.2 kg. Semua dadah itu dianggarkan bernilai RM576,000,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah dan hasil saringan air kencing didapati positif dadah.

Shamsul Amar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai rangkaian dalam sindiket penyeludupan dadah.

“Ia termasuk mengenal pasti sumber bekalan syabu itu sama ada dari Malaysia atau negara lain.

“Namun, polis percaya negara ini dijadikan transit dan dadah itu mahu diseludup suspek ke Indonesia,” katanya memaklumkan nilai syabu di republik itu dianggarkan RM70,000 bagi satu kg.

Katanya, suspek kini direman hingga 30 April ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 11:14 AM