BADAK Sumbu Sumatera jantan terakhir ditemui Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu, beberapa tahun lalu.
BADAK Sumbu Sumatera jantan terakhir ditemui Rizab Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu, beberapa tahun lalu.
Suzianah Jiffar


KAJIAN populasi badak di Hutan Simpan Ulu Segama, Hutan Simpan Ulu Malua dan Rizab Hidupan Liar Tabin di negeri ini mendapati kawasan berkenaan tidak lagi mempunyai Badak Sumbu Sumatera.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata, kajian melalui kaedah menjelajah hutan itu tidak menemui kesan tapak kaki badak manakala perangkap kamera yang dipasang juga tidak merakam gambar haiwan berkenaan.

“Kementerian saya melalui Jabatan Hidupan Liar menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Borneo Rhino Alliance dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia bagi menjalankan kajian di kawasan berkenaan yang dahulunya dikenal pasti mempunyai populasi Badak Sumbu Sumatera.

“Kajian ini bermula sejak tahun 1978 ketika Fauna Survey of Sabah dimulakan dan masih dijalankan sehingga sekarang.

“Bagaimanapun, kajian itu mendapati kawasan berkenaan tidak lagi mempunyai Badak Sumbu Sumatera,” katanya menjawab soalan Calvin Chong Ket Kiun (DAP-Elopura) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan mengenai adakah terdapat laporan mengenai penemuan tapak kaki Badak Sumbu Sumatera selepas 2016 dan apakah langkah yang dapat dilakukan untuk mengembalikan semula habitat badak berkenaan.

Bagaimanapun, Christina berkata, berdasarkan kajian itu, Hutan Simpan Ulu Segama dan Rizab Hidupan Liar Tabin masih lagi sesuai sebagai habitat Badak Sumbu Sumatera walaupun kawasan itu tidak lagi mempunyai populasi badak berkenaan.

Sementara itu, Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, kini mempunyai 28 projek perkilangan yang aktif dan beroperasi sepenuhnya.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri, Datuk Madius Tangau, berkata, projek perkilangan itu menyediakan kira-kira 1,300 peluang pekerjaan termasuk dalam bidang pengurusan, pekerja mahir dan juga separa mahir.

“Kebanyakan pekerja yang diambil adalah penduduk asal Lahad Datu selain ada juga dari daerah lain di pantai timur Sabah seperti Sandakan dan Tawau,” katanya menjawab soalan Datuk Osman Jamal (WARISAN-Balung) mengenai berapa banyak peluang pekerjaan diwujudkan sejak POIC Lahad Datu beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 3:51 PM