KUALA LUMPUR 16 APRIL 2019. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaran di hari ketiga atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN.
KUALA LUMPUR 16 APRIL 2019. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas perbicaran di hari ketiga atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. NSTP/MOHD YUSNI ARIFFIN.
Murni Wan Omar


KOS baharu pembinaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) membuktikan projek itu sebelum ini tidak digunakan untuk menyelamatkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dakwaan kerajaan bahawa kos projek itu hanya RM29 bilion dan baki daripada RM65 bilion digunakan untuk 1MDB adalah tidak benar.

“Pertamanya keputusan kerajaan PH (Pakatan Harapan) untuk teruskan projek ECRL adalah dialu-alukan.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara berdasarkan pemerhatian saya antaranya adalah nilai baru projek itu iaitu RM44 bilion.

“Ia membabitkan pengurangan stesen dan memansuhkan pembinaan terowong yang merentasi Banjaran Titiwangsa.

“Ia menunjukkan matlamat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bahru, Kelantan dalam tempoh empat jam tidak akan dicapai,” katanya yang ditemui di Kompleks Mahkamah di Kuala Lumpur.

Najib berkata, ia menyebabkan penumpang terpaksa menggunakan stesen hub di Putrajaya dan menambah masa perjalanan.

“Laluan ke arah selatan dan utara pula menyebabkan tempoh perjalanan bertambah antara satu hingga dua jam lagi.

“Jika menaiki kereta tempohnya tujuh jam dan jika tempoh perjalanan sama dengan menaiki kenderaan, tiada kelebihan menggunakan ECRL,” katanya.

Kerajaan PH mengumumkan projek ECRL akan diteruskan dengan kos pembinaan untuk fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, satu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.

Cadangan asal projek ECRL itu menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor ke Pengkalan Kubor di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 9:06 PM