Lelaki yang memanjat pokok dan bumbung rumah bagi mengelak dicekup penguat kuasa. FOTO Ihsan AADK Kelantan
Lelaki yang memanjat pokok dan bumbung rumah bagi mengelak dicekup penguat kuasa. FOTO Ihsan AADK Kelantan
Siti Nor Hidayatidayu Razali


DALAM usaha melarikan diri lelaki berusia 31 tahun memanjat pokok dan bumbung sebuah rumah berketinggian tujuh meter bagi mengelak dicekup penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh dalam Operasi Cegah di Kampung Sri Aman, Pasir Puteh semalam.

Bagaimanapun lelaki itu berjaya ditahan bersama tiga lagi lelaki berusia antara 19 hingga 50 tahun dalam serbuan antara 9.30 malam hingga 1 pagi.

Ketua Pegawai AADK Pasir Puteh, Azlina Mohd Zain berkata, ketika diserbu lelaki itu cuba meloloskan diri dengan berlari dan terus memanjat pokok.

Katanya, dia kemudian naik ke bumbung sebuah rumah dua tingkat kerana mahu menyorok.

“Pegawai mengambil masa 30 minit memujuk lelaki itu supaya menyerah diri. Lelaki itu akur sebelum turun dan kita menahannya untuk tindakan lanjut.

“Dalam operasi itu, kita turut menahan tiga lagi lelaki. Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine.

“Empat lelaki berkenaan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) Rawatan dan Pemulihan (R&P) 1983 dan direman mengikut Seksyen 4(1)(b)APD(R&P)1983,” katanya hari ini.

Beliau berkata, empat lelaki itu ditahan reman di Pusat Tahanan Reman (PTR) selama 14 hari bermula hari ini sehingga 28 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 3:51 PM