WANITA  warga asing ditahan dalam serbuan di Bandar Puteri Puchong, semalam.
WANITA warga asing ditahan dalam serbuan di Bandar Puteri Puchong, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KUALA LUMPUR: Wanita warga Vietnam, Thailand, Loas dan Indonesia antara menu istimewa disediakan buat lelaki hidung belang berkunjung ke sebuah premis urut di Bandar Puteri Puchong, di sini.

Aktiviti pelacuran berselindung di sebalik pusat urut itu menyediakan 21 wanita warga asing bagi melayan pelanggan dengan bayaran RM200 hingga RM300.

Namun, aktiviti itu dihidu Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor yang menggempur premis itu bermula jam 8.30 malam kelmarin.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, operasi dilakukan hasil maklumat dan risikan dilakukan pihak selama tiga hari di premis itu.

“Pemeriksaan mendapati pusat urut itu beroperasi di tingkat satu dan dua. Tingkat satu dijadikan kaunter, tempat pelanggan menunggu dan berurusan.

“Pelanggan akan dibawa ke tingkat dua bagi menikmati perkhidmatan seks ditawarkan. Selain 21 wargaasing, kami menahan seorang wanita tempatan berusia 30-an bekerja sebagai penjaga premis bagi membantu siasatan,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya merampas 144 kondom, tisu, gel pelincir, minyak urut dan wang tunai RM3,100.

“Individu ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)C Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1995,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 6:20 AM