Hidayatul Akmal Ahmad


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) kesal dengan tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berhubung dakwaan Polis Cawangan Khas dengan kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, sebagai Pengarah Cawangan Khas pada masa ini merasa amat terkesan dengan dakwaan SUHAKAM.

“Dakwaan dikeluarkan SUHAKAM baru-baru ini mengaitkan Cawangan Khas dengan perbuatan yang terang-terang salah di sisi undang-undang.

“Saya ambil berat tentang apa juga yang diluahkan Suruhanjaya itu dan saya yakin Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan memberikan komen atau kenyataan untuk menjawab apa yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas upacara Perbarisan dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Kadet Inspektor Siri 2 dan 3 /2018 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), hari ini.

Sebelum ini, SUHAKAM mendakwa Polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.

Raymond diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Rakaman menunjukkan, ia dipercayai satu rancangan rapi membabitkan lebih daripada sepuluh lelaki dan tujuh kenderaan.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.

Isteri Koh, Susanna Koh and isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, sejak beberapa bulan lalu menggesa Peguam Negara, Tommy Thomas, mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit dalam kes kehilangan suami masing-masing.

Sebelum ini Norhayati dipetik berkata ada saksi ternampak lima kenderaan menghalang laluan kereta Amri, sebelum dia dibawa pergi, kira-kira 550 meter dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 12:45 PM
ABDUL Hamid pada sidang media sempena Upacara Perbarisan dan Latihan Asas Sijil Tamat Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK). FOTO Bernama
ABDUL Hamid pada sidang media sempena Upacara Perbarisan dan Latihan Asas Sijil Tamat Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK). FOTO Bernama