SAMPAH-sarap dibuang merata-rata  mencemarkan Dataran Segamat.
SAMPAH-sarap dibuang merata-rata mencemarkan Dataran Segamat.
Ahmad Ismail


SIKAP orang ramai yang membuang pelbagai botol dan tin minuman keras di Dataran Segamat amat dikesali kerana memburukkan mercu tanda daerah ini.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Segamat (MPS) Mohd Masni Wakiman berkata, penduduk tiada alasan untuk membuang sampah merata-rata kerana MPD menyediakan tong sampah mencukupi iaitu setiap tong ditempatkan dalam jarak hanya lapan meter.

Katanya, tindakan membuang sampah merata-rata menggambarkan sikap pengotor penduduk, walaupun ia dilakukan segelintir pihak, malangnya apabila berlaku di kawasan tumpuan orang ramai ia memberikan gambaran buruk secara keseluruhan masyarakat.

“MPS dengan kerjasama agensi kerajaan lain mengeluarkan belanja tinggi untuk menaik taraf Dataran Segamat bertujuan memberi keselesaan, menjadikan ia mercu tanda selesa dan selamat kepada penduduk setempat dan pelancong.

“Tetapi sikap pengotor segelintir penduduk merosakkan nama baik daerah ini, selain sampah ada juga kemudahan dirosakkan seperti penutup longkang akibat vandalisme,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, Dataran Segamat dijadikan lokasi utama pelbagai penganjuran program termasuk Perbarisan Hari Kebangsaan peringkat Johor, program kebudayaan, bazar pakaian dan perayaan, bazar Ramadan serta bazar karat.

Katanya, ia menjadi antara salah satu lokasi kunjungan orang ramai dari luar daerah mahupun penduduk setempat meluangkan masa bersama keluarga.

“Kami boleh menempatkan anggota penguat kuasa selama 24 jam untuk menangani masalah itu namun ia akan menambah kos sedangkan wang itu boleh digunakan untuk menaik taraf lampu hiasan di kawasan tumpuan orang ramai.

“Ketika ini, kami menyediakan lebih 20 tong sampah dengan jarak hanya lapan meter setiap satu dan berharap orang ramai akan menggunakan kemudahan itu sebaik mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2019 @ 5:31 AM