ANTARA contoh batik untuk tatapan pengunjung.
ANTARA contoh batik untuk tatapan pengunjung.
KEMEJA-T dalam pelbagai warna dihasilkan.
KEMEJA-T dalam pelbagai warna dihasilkan.
PROSES mencanting batik dibuat selepas selesai melukis flora yang diingini.
PROSES mencanting batik dibuat selepas selesai melukis flora yang diingini.
Khairul Najib Asarulah Khan


Siapa sangka produk berasaskan batik yang pembuatannya sering dikaitkan dengan negeri pantai timur Semenanjung Malaysia turut mempunyai pengusahanya di negeri lain.

Batik yang diusahakan Ruzanna Kamaruzaman, 28, di Port Dickson, Negeri Sembilan bukan sahaja mendapat permintaan di negeri ini malah daripada ramai kenalannya di negeri lain.

Menceritakan ilmu mencanting batik, Ruzanna berkata, dia meminati seni itu semasa di bangku sekolah menengah ketika dia mengambil kelas seni.

“Sejurus tamat persekolahan, saya mempelajari ilmu itu lebih mendalam dengan mengambil Jurusan Seni Kraf Batik di Institut Kraf Negara (IKN), Rawang, Selangor selama tiga tahun.

“Dari situ, saya mempelajari teknik sebenar membuat batik seperti cara mengendalikan pemidang, melukis, mencanting, mewarna, mematikan warna dan menjemur.

“Ia sememangnya memerlukan kreativiti dan kesabaran yang tinggi untuk memastikan hasil yang menarik dan berkualiti,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rusa Batu 4, di sini.

Anak ketiga dari lapan beradik ini berkata, selepas tamat dari pengajian itu dia bekerja di Bengkel Batik di Seremban untuk menambah pengalaman selama tujuh bulan.

“Selepas itu, keluarga saya menggalakkan saya menjadi usahawan dengan mengeluarkan produk sendiri malah modal memberi peralatan dibantu kakak, Zalina Kamaruzaman, 32.

“Kini sudah hampir tiga tahun saya mengusahakan produk berasaskan batik seperti kain batik, kain pasang, hiasan dinding, sarung kusyen kerusi dan baju-T ,” katanya.

Menurutnya, dalam seni batik terdapat pelbagai eleman yang corak yang boleh dipilih seperti tradisional, flora, fauna, geometri, organik atau abstrak.

“Saya lebih tertumpu dalam seni flora di mana memberi fokus terhadap tumbuhan dari pelbagai sudut dengan lebih dekat.

“Pada masa akan datang, saya bercadang membuat batik berasaskan produk pelancongan di daerah ini seperti dari sumber laut iaitu batu karang, rumpai laut dan corak ikan,” katanya.

Mereka yang ingin menempah atau mengetahui lebih lanjut boleh melayari laman sosial Facebook Rozza Dickson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 10:56 AM