Hanneeyzah Bariah Baharin


WARGA emas yang menjadi mangsa sindiket penipuan dipercayai ‘Love Scam’ kerugian RM38,500 selepas diperdaya lelaki yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.

Kejadian bermula apabila wanita berusia 64 tahun itu terpedaya dengan helah lelaki berkenaan kononnya ditahan Jabatan Imigresen ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber berkata, lelaki menggunakan nama Elvis dari Liverpool, England itu kononnya dalam perjalanan ke Singapura atas urusan perniagaan sebelum ditahan ketika transit di KLIA kerana membawa cek dalam nilai mata wang asing melebihi had ditetapkan.

Bagaimanapun, lelaki itu memaklumkan kepada mangsa dia kemudiannya dijemput pegawai Kedutaan Britain di KLIA dan dibawa ke bank untuk urusan cek berkenaan.

“Lelaki itu memberitahu mangsa dia mahu meminjam RM11,500 kononnya untuk membayar komisen kepada Bank Negara berikutan kesalahan membawa cek dalam nilai mata wang asing melebihi had ditetapkan.

“Lelaki itu kemudian memberikan nombor akaun bank yang didaftar atas nama wanita tempatan untuk mangsa memasukkan wang.

“Janda anak dua itu yang bersimpati dengan lelaki itu mengeluarkan wang simpanannya dan memasukkan wang itu di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu 1.30 tengah hari, 26 Mac lalu.

“Bagaimanapun, lelaki itu sekali lagi menghubungi mangsa dan memberitahu kononnya dia memerlukan RM8,400 lagi sebelum mangsa menuruti kehendak lelaki itu dan memasukkan wang ke dalam akaun sama 4.15 petang hari sama,” katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian sekali lagi memasukkan wang RM9,300 12.15 tengah hari pada 27 Mac lalu dan RM9,300 lagi 12.15 tengah hari sehari kemudian.

Warga emas itu hanya menyedari ditipu selepas lelaki itu masih meminta sejumlah wang sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 8:00 PM