GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhamaad Razis Ismail


LELAKI warga emas maut akibat serangan jantung selepas terbabit dalam kejadian langgar lari di Jalan Post Office Lama di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa Chua Hok Chuan, 68, yang dilanggar kereta maut di tempat kejadian.

Bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat degupan jantung tidak sekata.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum kejadian mangsa dipercayai sedang melintas dari kiri ke kanan jalan.

Katanya, bagaimanapun secara tiba-tiba, mangsa dilanggar kereta yang nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti.

“Mangsa jatuh di bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik HRPZ II Kota Bharu untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan 2 pagi ini mengesahkan punca kematian akibat degupan jantung tidak sekata.

“Polis sedang mengesan kereta yang melanggar mangsa dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 11:45 AM