Salman Hamat dan Hamzah Osman


LINTAS hormat empat pesawat pejuang Su-30MKM dan dua F/A-18D hornet, pada 4.20 petang hari ini, menjadi persembahan terakhir bagi edisi ke-15 Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) di Langkawi.

Begitu pun, ketika pandangan pengunjung terarah ke udara, ramai tidak menyedari peranan dimainkan juruacara yang selayaknya menjadi wira di belakang tabir kerana peranan mereka menghidupkan persembahan sepanjang LIMA’19 berlangsung.

Tanpa kehadiran mereka, sudah tentu pengunjung tidak mengetahui mengenai kehebatan aksi aerobatik serta pergerakan yang dilakukan pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), begitu juga negara asing lain.

Bagi Mejar S Thayala Kumar Ravi Varman atau ‘Kunte’ dia mula menjadi pengacara untuk segmen udara sejak penganjuran LIMA’13 lagi.

Meskipun memiliki pengalaman luas dalam bidang pengacaraan, Thayala berkata, menghidupkan suasana atau ‘mood’ pertunjukan udara adalah berbeza dan lebih mencabar berbanding majlis formal.

Jurusensor dan persenjataan (WSO) pesawat F/A-18D Hornet itu berkata, pelakon pujaannya Robin Williams menjadi inspirasi mendapatkan idea untuk menghidupkan suasana sepanjang pertunjukan.

“Saya juga adalah peminat siri ‘wrestling’ (gusti) sejak kecil berikutan itu saya meniru cara penyampaian digunakan pengacaranya untuk menarik perhatian pengunjung di landasan.

“Pengalaman sebagai WSO juga banyak membantu saya memahami pergerakan bakal dilakukan juruterbang, malah jika ada perubahan pergerakan pesawat pada saat akhir saya tahu apa mereka mahu lakukan.

“Menggunakan pengalaman sebagai WSO dan mengacarakan lima pada edisi sebelum ini membolehkan saya berikan yang terbaik kepada pengunjung LIMA’19,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro.

Berbeza pula dengan Leftenan N Dinnesh, dari Subang Jaya, Selangor, LIMA’19 adalah pengalaman pertamanya sebagai pengacara pertunjukan udara.

Dia mengakui berasa kekok dan gementar ketika mengacarakan pertunjukan udaranya yang pertama pada Selasa lalu.

“Namun, lama-kelamaan saya berjaya membiasakan diri dan selesa, kena berani cuba perkara baru serta berikan yang terbaik untuk LIMA’19 menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Sekarang saya banyak belajar dari rakan setugas, bukan saja mengenai aspek mengacarakan majlis tetapi pergerakan udara memandangkan saya bukan seorang juruterbang,” katanya.

Menurutnya, dia diberi kepercayaan untuk menjadi pengacara selepas melepasi saringan iaitu dua minggu sebelum LIMA’19 berlangsung.

Jelasnya, dia turut menjalani kursus singkat selama sembilan hari sebelum diberi kepercayaan bertugas bersama Thayala, Kapten Nurhafizah Redzuan dan Mejar Zulkarnain Abdullah pada LIMA’19.

“Pada pertunjukan udara, selain koordinasi antara pesawat muzik iringan yang sesuai juga banyak membantu menghidupkan suasana, jadi kami akan pilih lagu yang kena dengan tema persembahan.

“Saya juga selitkan unsur jenaka dan menggunakan dialek Kedah untuk menarik perhatian dan mengelakkan pengunjung daripada cepat bosan,” katanya.

LIMA’19 berlangsung dari Selasa lalu hingga hari ini di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 8:39 PM
LANGKAWI 30 MAC 2019. Pertunjukkan udara dari SU30 dan F18 TUDM sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA'19) di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC). NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA
LANGKAWI 30 MAC 2019. Pertunjukkan udara dari SU30 dan F18 TUDM sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA'19) di Pusat Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC). NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA