Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 13,677 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pelbagai warganegara ditahan menerusi operasi penguatkuasaan dari 1 Januari lalu sehingga semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, warga Indonesia mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 4,729 ditahan.

“Diikuti warga Bangladesh (3,164); Filipina (1,362); Myanmar (1,357) dan bakinya dari negara lain.

“Sepanjang tempoh sama juga JIM mengadakan 4,454 Operasi Penguatkuasaan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sehingga semalam 11,915 PATI sudah diusir ke negara asal masing-masing.

“Langkah pro-aktif diambil dengan mempercepatkan proses pendakwaan dan pengusiran supaya setiap tahanan dapat diusir dengan segera.

“Dengan itu, operasi penguatkuasaan dapat ditingkatkan dan semua tahanan ditempatkan di depot tanpa melebihi kapasiti depot tahanan,” katanya.

Menurutnya, walaupun operasi penguatkuasan dijalankan tanpa henti dan dilaksanakan secara bersepadu namun masih ada masyarakat yang merungut dengan kehadiran warga asing.

“JIM ingin mengingatkan bahawa bukan semua warga asing adalah PATI tetapi ada antara mereka juga yang masuk secara sah sebagai pekerja asing, ekspatriat, pelajar dan juga pelancong.

“Sehingga 28 Februari lalu, terdapat 2,045,910 pekerja asing sah di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 9:28 PM