SERAMAI 150 peserta mengikuti Program Rehlah Santai Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia di Madrasah An Nabawiyyah Lid Dirasaat Islamiyyah di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, berakhir semalam. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
SERAMAI 150 peserta mengikuti Program Rehlah Santai Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia di Madrasah An Nabawiyyah Lid Dirasaat Islamiyyah di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, berakhir semalam. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“PERJALANAN lebih 100 kilometer untuk menyertai program dianjurkan itu berbaloi kerana ia banyak memberi kesedaran kepada saya,” kata Mohamad Aminuddin Azhar, 20, salah seorang daripada 150 peserta Program Rehlah Santai Pertubuhan Kebajikan ACT Malaysia (ACT), semalam.

Pemuda berasal dari Raub, Pahang itu sanggup menunggang motosikal kapcai menempuh perjalanan lebih dua jam ke Madrasah An Nabawiyyah Lid Dirasaat Islamiyyah di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat semata-mata untuk menyertai program berkenaan.

Aminuddin berkata, dia bertuah kerana terpilih menyertai program berbentuk keagamaan dan khidmat masyarakat itu. 

“Saya pernah menyertai pelbagai program sukarelawan di kampung selain program dianjurkan di peringkat sekolah.

“Bagaimanapun program disertai kali ini lebih mendekatkan saya dengan masyarakat dan komuniti setempat selain membentuk keperibadian positif.

“Banyak aktiviti dijalankan sepanjang empat hari menjayakan program dan ia memberi banyak peluang untuk belajar agama selain menjalankan kerja sukarela di madrasah berkenaan," katanya.

Aminuddin berkata, biarpun mengalami keletihan menunggang motosikal berseorangan sejauh 100km ke program itu, namun ia sesuatu yang sangat menyeronokkan.

“Paling teruja apabila semua peserta diberi peluang memperbetulkan bacaan al-Quran dalam solat termasuk surah al-Fatihah.

“Selama ini hanya solat ikut-ikut, tetapi apabila menyertai program itu saya dibimbing untuk mengerjakan solat dengan cara lebih tepat dan sempurna," katanya.  

Peserta lain, Yassar Mohd Yusof, 25, dari Klang berkata, dia tidak pernah menyertai program keagamaan sebelum ini.

“Saya berkerja sebagai mekanik, jadi peluang untuk mengikuti program keagamaan seperti ini tu terhad.

“Pada mulanya memang berasa malas untuk menyertainya tetapi apabila ramai rakan turut serta, saya berasa terpanggil untuk melapangkan masa selama empat hari di sini.

“Rupa-rupanya banyak manfaat diperoleh sepanjang berkampung di madrasah ini termasuk mendekati dan membantu pelajar tahfiz," katanya.

Sementara itu, Presiden ACT, Fazil Mohd Dali berkata, pihaknya mempunyai 1,000 ahli berdaftar dan menganjurkan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk kebaikan semua ahli.

Beliau berkata, ACT disertai ramai anak muda dan program dianjurkan perlu menepati kehendak agama supaya ia tidak menyimpang dan memberi kesan negatif kepada mereka.

“Kami pernah anjurkan program mendaki gunung dan konvoi bermotosikal, tetapi manfaat dan kesan positif kepada ahli sangat minimum.

“Bagaimanapun, melalui program rehlah berbentuk keagamaan itu, saya lihat akhlak dan disiplin ahli semakin berubah ke arah lebih positif," katanya.

Fazil atau lebih mesra dipanggil Cik Ton berkata, dia dengan kerjasama Ustaz Wan Helmi Wan Mohamed sepakat untuk menganjurkan program itu setiap tiga bulan, sekali gus membabitkan lebih ramai remaja.

“Kami lihat masih ramai remaja lemah dalam ilmu agama malah ada yang kurang menitik beratkan soal agama.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab kami membantu golongan berkenaan untuk belajar dan mendalami ilmu agama," katanya.  

Menurutnya, program sama pernah dianjurkan di Jerantut, Pahang pada Disember lalu dan disertai 50 peserta.

Katanya, program kali ini disertai 150 orang dan pihaknya menyasarkan 200 peserta pada program berikutnya.

Turut memeriahkan program ialah artis hijrah iaitu Zul Yahya, Taiyuddin Bakar atau Tai Apa Celop Toq, Zack Kool dan Izam Medicine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 12:33 AM