Mazlan menunjukkan beberapa botol minuman mengandungi dadah yang dirampas di pusat hiburan terbabit. FOTO Ihsan polis
Mazlan menunjukkan beberapa botol minuman mengandungi dadah yang dirampas di pusat hiburan terbabit. FOTO Ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin

DUA warga Singapura antara pengunjung yang ditahan selepas didapati memiliki dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Kompleks Sun, Bukit Bintang, Kuala Lumpur awal pagi ini.

Serbuan pada 2.45 pagi itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang membongkarkan kegiatan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung pusat hiburan terbabit.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, seramai 81 individu berusia lingkungan 20 hingga 40-an diperiksa dalam serbuan itu.

Katanya, daripada jumlah itu, 37 individu terdiri daripada 28 lelaki dan sembilan wanita didapati positif dadah termasuk dua lelaki warga Singapura yang ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

“Siasatan lanjut mendapati pemilik pusat hiburan berkenaan turut menggunakan khidmat gadis pelayan (GRO) warga asing untuk melariskan perniagaan.

“Susulan itu, kami menahan 15 GRO yang terdiri daripada 10 warga China manakala lima lagi warga Vietnam,” katanya ketika sidang media di lokasi serbuan.

Mazlan berkata, pihak polis turut menggunakan khidmat Unit Pengesan Anjing (K9) bagi menghidu bau dadah selepas beberapa botol minuman mengandungi dadah dirampas di pusat hiburan terbabit.

“Air minuman mengandungi dadah itu ditemui di dalam sebuah bilik yang digunakan empat lelaki termasuk dua warga Singapura bersama empat GRO warga China,” katanya.

Semua individu yang ditahan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 2:16 PM