ROSMAH ketika hadir ke mahkamah hari ini. FOTO Aswadi Alias
ROSMAH ketika hadir ke mahkamah hari ini. FOTO Aswadi Alias
Nur Lela Zulkipli


ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memohon untuk mengetepikan notis dari pihak pendakwaan yang mewajibkannya mengisytiharkan perolehan harta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah, berkata anak guamnya menerima notis itu pada November lalu mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Geethan berkata, pihaknya menegaskan bahawa Rosmah tidak boleh diminta mengisytiharkan perolehan harta dan pada masa sama dibicarakan berhubung perkara sama.

“Ini adalah kerana anak guam ada hak untuk mendiamkan diri. Dengan notis yang dikemukakan ini bermakna hak itu sudah diambil dari anak guam saya.

“Oleh itu, kami memfailkan permohonan bahawa beliau (Rosmah) tidak perlu membalas notis ini kerana sudah didakwa di mahkamah,” katanya.

Geethan berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding sebutan kes pengubahan wang haram dihadapi Rosmah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan.

Dalam prosiding itu, mahkamah menetapkan pada 25 April ini untuk mendengar permohonan Rosmah supaya beliau tidak perlu menjawab notis pendakwaan itu.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Rosmah, 67, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, di Kuala Lumpur dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur, antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 12:14 PM