Iskandar Shah Mohamed


BANDUAN lelaki warga emas bakal meringkuk di penjara lebih lama apabila mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram berjumlah RM285,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Shee Fook, 71, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Bagaimanapun, Yang Zaimey menetapkan tarikh jatuh hukum pada 14 Mac depan bagi memberi ruang kepada pendakwaan menyediakan fakta kes dan dokumen berkaitan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa menggunakan wang berjumlah RM35,000 dan RM250,000 iaitu hasil aktiviti penggubahan wang haram dari akaun simpanan miliknya.

FOOK dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Faiz Anuar
FOOK dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Faiz Anuar

Perbuatan itu dilakukan di dua bank masing-masing di Seri Kembangan dan Bandar Baru Seri Petaling, pada 13 hingga 17 Februari 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Atiqah memohon mahkamah memberikan tempoh singkat bagi menyediakan fakta kes.

Difahamkan, Fook kini sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Penjara Kajang atas kesalahan menipu antaranya membabitkan kes di Negeri Sembilan dan Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 11:49 AM