Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
BERNAMA

MASIH ramai peniaga dalam talian di Kelantan tidak membayar cukai jualan masing-masing walaupun sudah menjana sejumlah pendapatan yang boleh dikenakan cukai.

Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kelantan Shaufee Salleh berkata, keadaan itu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk peniaga tidak mempunyai maklumat atau pendedahan yang betul atau mengambil mudah berkaitan pembayaran cukai.

“Cukai pendapatan ke atas perniagaan dalam talian bukan suatu perkara baharu, ia merupakan jenis cukai pendapatan yang sama dikenakan ke atas para peniaga konvensional,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas sidang media mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela dan Isu Percukaian Perniagaan Atas Talian yang akan diadakan pada 11 Mac ini.

Turut hadir Presiden Dewan Perniagaan China Kelantan Yap Heng Or.

Shaufee bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah peniaga dalam talian yang tidak menjelaskan cukai atau yang dikenakan penalti.

Menurut Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967, pendapatan suatu perniagaan layak dikenakan cukai pendapatan selepas mengambil kira semua perbelanjaan yang layak dibenarkan dalam perniagaan dan pelepasan cukai yang layak dituntut oleh peniaga terbabit.

Bagi perniagaan dalam talian yang dijalankan oleh individu, cukai pendapatan mereka akan mengikut kadar cukai pendapatan individu bermula dari kosong peratus sehingga 28 peratus (mulai Tahun Taksiran 2016).

Dalam pada itu Yap berkata, program terbabit tersebut diadakan pada Isnin bermula jam 2.30 petang bagi memberi pendedahan kepada semua peniaga terutama peniaga dalam talian berhubung percukaian.

“Kita mengambil inisiatif ini kerana ramai peniaga yang masih tidak mempunyai maklumat yang jelas berhubung cukai bagi jualan dalam talian. Kita harap ramai peniaga dapat hadir pada program tersebut yang disediakan secara percuma.

“Peniaga yang secara sukarela membuat pengakuan pada hari berkenaan juga akan hanya dikenakan penalti cukai serendah 10 peratus,” katanya.

Program itu dijangka akan dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sri Sabin Samitah dan antara panel yang akan memberikan taklimat termasuk Anggota Majlis Institut Percukaian Malaysia Chow Chee Yen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 6:40 PM