Nurul Amanina Suhaini


PEKERJA kebun putus pergelangan tangan kiri apabila ditetak menggunakan parang dalam kejadian samun di Jalan Jemaluang Jambatan TKPM Gate 2, di Mersing, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 36 tahun ditetak menggunakan sebilah parang ketika cuba melawan dua suspek yang menyamunnya.

Katanya, sejurus kejadian, pihaknya menerima panggilan telefon dari orang ramai yang memaklumkan mangsa disamun dua suspek menaiki motosikal dan sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya mendapati dua suspek lelaki tidak dikenal pasti menunggang sebuah motosikal dan memakai topi keledar berwarna putih dan hitam datang menghampiri mangsa.

“Kedua-dua suspek yang mempunyai badan berisi dengan ketinggian kira-kira 1.5 meter (m) hingga 1.6 m kemudiannya memaksa mangsa menyerahkan semua barangan peribadinya.

“Mangsa cuba melawan menyebabkan suspek berang dan menghayunkan parang. Melihat keadaan itu, mangsa cuba menahan menyebabkan pergelangan tangan kiri terpotong sehingga putus, sebelum telefon bimbit, wang tunai RM500 dan dokumen peribadinya dirampas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing, hari ini.

Cyril berkata, polis masih menyiasat mangsa untuk mendapatkan gambaran wajah suspek, selain mangsa kini dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk penyambungan tangan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan polis meminta kerjasama orang awam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 4:47 PM