PROGRAM program Pasar Percuma di perkampungan Orang Asli di Kampung Bukit Kepong. FOTO Mohd Khidir Zakaria
PROGRAM program Pasar Percuma di perkampungan Orang Asli di Kampung Bukit Kepong. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


DALAM masa dua jam, lebih satu tan pakaian terpakai habis diagihkan kepada kira-kira 200 pengunjung program pasar percuma di perkampungan Orang Asli di Kampung Bukit Kepong, Port Dickson, semalam.

Selain pakaian, program anjuran My Kasih Care Amal Team yang bermula 2 petang itu turut mengagihkan barang makanan termasuk sayur-sayuran dan beras kepada golongan memerlukan.

Seorang penduduk, Zainab Abon, 30, berkata, program pasar percuma itu adalah kali pertama dikunjunginya dan tidak menyangka banyak barangan yang boleh diambil secara percuma.

“Saya sangat teruja dengan program seperti ini yang menyediakan banyak barangan seperti pakaian terpakai dan makanan yang diberikan secara percuma kepada penduduk.

“Saya berharap ada lagi program ini kerana ia amat membantu, sekali gus meringankan beban kos sara hidup,” kata ibu kepada dua anak itu.

Sementara itu, Pengerusi My Kasih Care Amal Team Syed Shukrinizam Jaafar berkata, program berkenaan sudah dirancang sejak tiga minggu lalu dan mendapat perhatian banyak pihak untuk membantu.

“Semua barangan ini adalah hasil sumbangan pelbagai pihak sama ada syarikat atau perseorangan.

“Selain agihan barangan percuma itu, kami turut menyediakan khidmat gunting rambut, urutan kaki, solekan dan sukaneka kepada penduduk di sini.

“Kami berhasrat untuk terus mengadakan program pasar percuma ini mengikut kesesuaian tempat, jumlah barangan dan sokongan semua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 3:30 PM