Mohd Amiroshelmi dan Putera Rafiudin Haikal yang sudah sedar dan semakin pulih. FOTO Rosli Ilham
Mohd Amiroshelmi dan Putera Rafiudin Haikal yang sudah sedar dan semakin pulih. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“ALHAMDULILLAH mereka berdua sudah sedar dan semakin pulih.

“Terima kasih atas doa semua termasuk pembaca akhbar Harian Metro,” kata Azmil Yusof, 33, ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hari ini.

Dua beranak, Mohd Amiroshelmi, 30, dan Putera Rafiudin Haikal, 6, sebelum ini dilaporkan kritikal selepas lemas ketika tertidur di dalam Proton Gen 2 di parkir kereta perkarangan Hospital Kemaman 20 Februari lalu.

Azmil yang juga abang Mohd Amiroshelmi berkata, Putera Rafiudin Haikal yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kanak-kanak HSNZ mula membuka mata 25 Februari lalu manakala bapanya sedar pagi semalam.

“Saya sangat gembira selepas mereka membuka mata walaupun tidak sedar sepenuhnya dan hari ini, dua beranak itu menunjukkan perkembangan positif apabila mula bercakap.

“Sebelum ini, dua beranak itu ditempatkan di ICU HSNZ namun mereka kini dipindahkan ke wad biasa.

“Putera Rafiudin mula meminta susu sementara Mohd Amiroshelmi mula bertanya kepada saya apa yang terjadi kepadanya,” katanya.

Katanya, dia memaklumkan kepada Mohd Amiroshelmi bahawa mereka berdua terbabit dalam kemalangan kecil dan memintanya supaya tidak banyak bercakap.

“Saya meminta dia tidak bertanya banyak soalan sebaliknya meminta berehat secukupnya sehingga dia pulih.

“Mereka masih dalam pemerhatian pegawai perubatan dan saya tidak pasti bila dua beranak akan dibenarkan keluar dari wad,” katanya.

Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal berita Harian Metro sebelum ini.

Mengimbau kembali kejadian 12.45 tengah hari itu, Azmil berkata, dia sangat sedih selepas dua beranak itu berada dalam keadaan kritikal.

“Pada mulanya, mereka dirawat di Hospital Kemaman namun dipindahkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut.

“Ketika itu, doktor yang membuat pemeriksaan melalui imbasan tomografi berkomputer (CT scan) mengesahkan mereka mengalami bengkak otak,” katanya.

Katanya, dia tidak putus-putus berdoa termasuk mengadakan solat hajat di beberapa surau dan masjid dalam usaha memohon kepada Allah SWT supaya dua beranak itu selamat.

“Terima kasih atas doa semua dan Alhamdulillah mereka berdua sedar dan saya berharap mereka cepat sembuh,” katanya.

Sebelum ini, dua beranak itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta Proton Gen 2 oleh rakan Mohd Amiroshelmi, Mohd Hazmin Jusoh, 33.

Mohd Hazmin bertindak memecahkan cermin kereta berkenaan selepas dua beranak itu tidak memberikan sebarang tindak balas.

Sebaik berjaya memecahkan cermin tingkap, Mohd Hazmin mendukung Putera Rafiudin dan membawanya ke unit kecemasan manakala Mohd Amirohelmi yang dikeluarkan kakitangan hospital dibawa ke unit kecemasan sama untuk rawatan.

Berita berkaitan:

  • 2 beranak kritikal lemas dalam kereta
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 3:54 PM