FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


SURI rumah didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, selepas mengaku bersalah mendatangkan kecederaan ke atas anak perempuannya, dua minggu lalu.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan denda itu ke atas Mahani Paimin, 35, selepas dia membuat pengakuan salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan tangan ke atas anaknya yang berusia 12 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Mawar, Pasir Gudang, jam 11 pagi, 17 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhammad Dan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, wanita itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kerana dia tidak bekerja dan perlu menyara dua anaknya termasuk seorang yang berusia setahun dan masih menyusu badan.

Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk dijadikan pengajaran.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Hajar berpesan supaya wanita itu insaf dan tidak mengulangi kesalahan terbabit.

“Saya harap awak insaf, jangan ulangi lagi. Anak sepatutnya dilindungi bukan untuk dipukul atau didera,” katanya yang turut memerintahkan wanita itu dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Menurut fakta kes, nenek mangsa menerima panggilan telefon daripada mangsa yang memaklumkan dia dipukul oleh ibunya.

Difahamkan, nenek mangsa kemudian ke sekolah dan melihat keadaan kanak-kanak itu dengan kesan lebam di belakang badan serta benjol di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 2:44 PM