LEE (tengah) beramah mesra dengan sebahagian penerima. (Gambar kecil) Tang Zhi Sheng. FOTO Malai Rosmah Tuah
LEE (tengah) beramah mesra dengan sebahagian penerima. (Gambar kecil) Tang Zhi Sheng. FOTO Malai Rosmah Tuah
Olivia Miwil


KESUKARAN ketika kecil hingga terpaksa menggunakan pensil pendek yang tidak lagi boleh dipegang, memberi inspirasi kepada seorang pelajar supaya lebih bersyukur dan berusaha untuk mendapat kehidupan lebih baik.

Tang Zhi Sheng, 22, dari Kuala Lumpur berkata, ketika Tahun Satu kedua ibu bapanya yang pekak tidak mampu membeli pensil dan peralatan sekolah menyebabkan dia dan kakaknya terpaksa menggunakan pakaian seragam lama disedekahkan saudara-mara.

“Ketika berada di Tahun Dua, kami tidak lagi berdepan kesukaran mendapatkan peralatan sekolah serta pakaian seragam apabila mula menerima bantuan kewangan daripada Yayasan Eco World.

“Bantuan itu dan motivasi daripada ibu bapa mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh agar saya tidak mengecewakan mereka,” katanya.

Tang yang kini menuntut di Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dalam bidang Kejuruteraan Mechatronic dijangka menamatkan pengajian tahun depan.

Dia berkongsi cerita di sebalik kejayaannya dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Yayasan Eco World yang dihadiri Pengerusi yayasan itu, Tan Sri Lee Lam Thye di Kota Kinabalu, hari ini.

Sementara itu, Lee memuji usaha 10 pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan dua pelajar Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Dalam majlis itu, pelajar cemerlang UPSR menerima kamus, buku motivasi dan wang tunai RM200, RM150 dan RM100 mengikut kategori, manakala bagi pelajar PT3, mereka menerima masing-masing RM250.

Sementara, dua guru dianugerahkan Anugerah Guru Cemerlang sebagai pengiktirafan komitmen mereka dalam membimbing pelajar ke arah kecemerlangan akademik, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yick Nam menerima Anugerah Sekolah Terbaik dan mendapat hadiah wang tunai RM10,000.

Lee berkata, program itu mengambil pendekatan holistik dalam menyediakan keperluan pendidikan setiap pelajar, daripada kelengkapan sekolah hingga makanan, yuran sekolah dan tuisyen.

“Murid menerima bantuan kewangan antara RM1,000 hingga RM1,500 setahun, manakala pelajar menerima antara RM5,000 hingga RM20,000, bergantung kepada kursus,” katanya.

Yayasan itu juga membantu 59 pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dengan 20 daripadanya sudah menamatkan pengajian di peringkat ijazah dan sudah bekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Februari 2019 @ 6:28 PM