Keratan laporan sebelum ini.
Keratan laporan sebelum ini.
Shamsul Munir Safini

SEORANG daripada empat mangsa yang parah akibat runtuhan kerangka bumbung sebuah kilang dalam pembinaan di Kawasan Perindustrian Juru, Bukit Mertajam, hari ini meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa warganegara Myanmar etnik Rohingya itu meninggal dunia ketika rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Katanya, susulan itu jumlah mangsa maut akibat insiden berkenaan meningkat kepada tiga orang, manakala tiga mangsa yang parah masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ.

“Semua mangsa maut dikenal pasti iaitu P Kumar, 46 (penduduk tempatan); Rofi Khan, 32, (Myanmar), dan rakan senegaranya, Amir Udin Abol Kasim, 20.

“Siasatan awal mendapati runtuhan berpunca daripada muncung kren yang dikendalikan mangsa berlanggar dengan salah satu struktur kerangka bumbung di tapak itu menyebabkan ia terbalik dan terkena struktur lain sehingga runtuh,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian kebanyakan pekerja sudah selesai bekerja dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai yang terjejas sekiranya masih ramai berada di tapak itu.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan sudah memaklumkan pihak berkaitan. Setakat ini kes diklasifikasikan kematian mengejut,” katanya.

Dalam kejadian 4.20 petang itu, Kumar dan seorang pengendali kren warga Myanmar berusia 30-an maut manakala, seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Tiga lagi warga Myanmar dan Indonesia parah.

Kumar beralamat di Simpang Ampat, Nibong Tebal sudah berkerja dengan syarikat itu selama lima tahun.

Berita berkaitan

'Dua maut, tiga parah dihempap besi'

'[UPDATE] Dihempap ketika berlari keluar'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 9:08 PM