Datuk Seri Rina Mohd Harun bersama Datuk Seri Fatimah Abdullah melancarkan sistem myKendiri di Pusat Penjagaan Persatuan  Autisme Kuching, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Datuk Seri Rina Mohd Harun bersama Datuk Seri Fatimah Abdullah melancarkan sistem myKendiri di Pusat Penjagaan Persatuan Autisme Kuching, hari ini. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi

Kuching: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan sistem khusus bagi memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan pusat jagaan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, Sistem Penilaian Kendiri Pengendali Pusat Jagaan (myKendiri) yang dibangunkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara dalam talian itu juga bermatlamat untuk menggalakkan lebih banyak pengendali pusat jagaan mendaftar dengan kementerian.

Menurutnya, menerusi myKendiri pendaftaran pusat jagaan menjadi lebih mudah sekali gus memastikan kaedah pemantauan lebih mudah dan efektif.

"Sistem myKendiri juga memastikan pendaftaran pusat jagaan menjadi lebih berstruktur dan terkawal khususnya untuk keselamatan serta kesejahteraan penghuni.

"Sebelum ini, pendaftaran dijalankan secara manual namun kini kita membuat penambahbaikan bukan sahaja untuk memudahkan pihak JKM memantau tetapi juga memudahkan pengendali pusat jagaan itu menyalurkan maklumat berkaitan operasi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan myKendiri di Pusat Penjagaan Persatuan Autisme Kuching di Taman Desa Wira di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Ketika ini, sebanyak 1,861 pusat jagaan berdaftar mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 dengan 759 daripadanya adalah pusat jagaan berkediaman, manakala 1,102 lagi pusat jagaan harian.

Bagaimanapun, Rina mengakui masih terdapat banyak pusat jagaan yang tidak berdaftar dan beliau meminta kerjasama masyarakat untuk menyampaikan maklumat kepada JKM berhubung operasi pusat jagaan terbabit.

"Pendaftaran pusat jagaan itu perlu untuk memastikan ia beroperasi dengan mengikut syarat yang ditetapkan kerana banyak kes yang berlaku membabitkan pusat jagaan yang tidak berdaftar.

"Kita sudah meminimumkan syarat bagi memudahkan semua pihak tanpa berkompromi soal kualiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 12:45 PM