ANGGOTA Bomba memeriksa kereta Honda HRV yang terbakar. (Gambar kecil) Keadaan tempat duduk yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba memeriksa kereta Honda HRV yang terbakar. (Gambar kecil) Keadaan tempat duduk yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Hanneeyzah Bariah Baharin


TINDAKAN pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan sebuah kereta Honda HRV daripada musnah selepas bahagian dalaman kenderaan itu terbakar dipercayai berpunca daripada alat pengecas mudah alih.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Mohamad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.35 petang kelmarin, pemilik kenderaan itu meletakkan keretanya di parkir berhampiran bangunan Pejabat Pos Kemaman di Jalan Masjid di Chukai, untuk menyelesaikan beberapa urusan di situ.

Beliau berkata, cuaca terik selain berada dalam ruang tertutup dipercayai menjadi punca alat pengecas mudah alih itu terbakar, sebelum kejadian disedari seorang orang awam yang melalui kawasan berkenaan.

“Orang awam itu yang panik melihat api dan asap memenuhi bahagian dalam kenderaan berkenaan berlari ke Balai Bomba Kemaman yang terletak kira-kira 100 meter daripada lokasi kejadian untuk meminta bantuan.

“Bagaimanapun, ketika itu jentera balai berkenaan sedang melakukan operasi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing menyebabkan balai berkenaan memohon bantuan Balai Bomba Chukai.

“Tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran sebaik menerima laporan daripada Balai Bomba Kemaman kira-kira jam 2.44 petang,” katanya.

Mohd Zailani berkata, sebaik tiba di lokasi, seorang orang awam sedang cuba memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api yang dipinjam daripada kedai elektrik berhampiran.

“Pasukan bomba kemudian memadamkan kebakaran dengan alat pemadam api dan berjaya mengawal kebakaran di tempat duduk penumpang hadapan daripada merebak ke bahagian lain dalam masa seminit,” katanya.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan 20 peratus bahagian dalaman kenderaan itu rosak terbakar.

Katanya, pihaknya tidak menolak cuaca terik turut menjadi punca alat pengecas mudah alih itu terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 7:54 PM