Mujahid menunjukkan poster acara sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Selasa ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mujahid menunjukkan poster acara sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Selasa ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor


TIGA tetamu diraja Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Putera Mahkota Jordan Ali Al-Hussein mengesahkan kehadiran masing-masing.

Ia sempena Istiadat Pertabalan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah 30 Julai ini.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan, ketiga-tiga tetamu diraja itu sudah menjawab surat jemputan yang dihantar dan mengesahkan kehadiran.

Dalam pada itu katanya, pihaknya memaklumkan persiapan istiadat termasuk beberapa program lain yang dirancang sudah mencapai tahap 80 peratus.

“Persiapan sudah mencapai 80 peratus. Cuma ada beberapa raptai yang akan diadakan,” katanya.

Mujahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Program Istiadat berkata, kerajaan berharap rakyat Malaysia bersama-sama menghayati istiadat itu kerana ia manifestasi untuk lebih memahami dan menghormati institusi raja-raja serta Yang di-Pertuan Agong khususnya.

Menurutnya, institusi Yang di-Pertuan Agong perlu dijadikan payung kedaulatan negara dan tidak sekadar simbol perpaduan sebaliknya lebih daripada itu termasuk sebagai lambang kestabilan dan kemegahan negara.

“Kerajaan juga mengisytiharkan 30 Julai ini hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara. Jadi inilah masanya untuk semua rakyat menyaksikan istiadat ini secara langsung di televisyen.

“Di samping itu, saya menyeru kepada semua pihak termasuk kementerian, agensi serta swasta bagi menyemarakkan Istiadat ini dengan menganjurkan aktiviti berkonsepkan menginstitusikan institusi Yang Dipertuan Agong dalam kalangan warga organisasi masing-masing,” katanya.

Katanya, selain istiadat pertabalan, ada lima program lain dirancang termasuk majlis bacaan Yasin, doa selamat dan solat hajat pada esok di Masjid Negara; Majlis Santapan Diraja di Istana Negara pada 31 Julai serta lawatan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Hospital Rehabilitasi Cheras pada 1 Ogos.

Dalam pada itu katanya, Yang di-Pertuan Agong juga akan berangkat pada program Khutbah Khas dan Solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya 2 Ogos ini.

Khutbah khas ini akan dibacakan di seluruh masjid di Wilayah Persekutuan dan di negeri yang mana Baginda menjadi ketua agama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 4:23 PM