Bayi malang yang ditemui penunggang motosikal. Ihsan Polis.
Bayi malang yang ditemui penunggang motosikal. Ihsan Polis.
Faliq Lajim

BAYI perempuan yang masih bertali pusat ditemui di tepi jalan dekat persimpangan Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) menghala Bandar Puteri, Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, bayi dipercayai baru dilahirkan itu dijumpai seorang lelaki berusia 29 tahun yang melalui jalan berkenaan pada 12 tengah hari.

“Ketika tiba di persimpangan itu, penunggang motosikal berkenaan ternampak bayi dibalut dengan kain selimut berwarna biru yang ditinggalkan di tepi jalan.

“Siasatan awal mendapati bayi itu dianggarkan sehari itu berikutan masih bertali pusat dan dalam keadaan sihat serta bersih.

“Polis kemudian menghantar bayi itu ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Klang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamsul Amar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat untuk membuang bayi berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 11:10 PM