Norizuan Shamsuddin


“PENJENAYAH itu seolah-olah sudah merancang mencuri kucing di kedai ini kerana mereka membawa beg khas untuk memasukkan haiwan berkenaan,” kata Nadrah Aqilah Ahmad Nazim, 21.

Dalam kejadian 7.10 petang, Rabu lalu, Nadrah Aqilah bersama tiga rakannya yang bekerja di premis peliharaan dan jualan kucing Taman Melawati, Kuala Lumpur berdepan detik cemas apabila disamun empat lelaki bersenjatakan parang.

Nadrah Aqilah berkata, empat lelaki bersenjatakan parang itu melarikan dua kucing dan juga wang tunai dianggarkan RM2,000.

“Kucing yang hilang baka ‘British Short Hair’ berharga RM2,800 dan seekor lagi baka Parsi yang dijual pada harga RM400,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Dia yang juga pekerja sambilan di situ berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama tiga rakannya, termasuk dua lelaki bertugas di premis berkenaan.

Menurutnya, empat lelaki terbabit menaiki dua motosikal dan parkir di premis bersebelahan.

“Ketika itu, rakan saya di pintu (premis) sudah curiga dengan empat lelaki itu dan apabila mereka meluru masuk ke premis, rakan saya cuba menghalang suspek dengan menyekat pintu masuk, tetapi gagal.

“Seorang daripada suspek meluru ke kaunter dan mengambil wang tunai, manakala dua lagi suspek meluru ke arah sangkar kucing kemudian memasukkan dua kucing ke dalam beg sebelum melarikan diri.

“Ketika kejadian, kawasan ini memang sunyi dan tiada orang di luar premis. Saya juga menjerit minta bantuan, tetapi tiada siapa yang dengar,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, semalam.

Nadrah Aqilah berkata, majikannya membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati pada hari sama.

“Forensik polis juga ada datang untuk membuat pemeriksaan dan mereka turut mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 4:48 PM
Rakaman CCTV menunjukkan suspek memasukkan kucing ke dalam beg. (Gambar kecil) Dua kucing yang dilarikan penjenayah. FOTO Ihsan Pembaca
Rakaman CCTV menunjukkan suspek memasukkan kucing ke dalam beg. (Gambar kecil) Dua kucing yang dilarikan penjenayah. FOTO Ihsan Pembaca