Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah keluarga Zuheira. FOTO Rosli Ilham
Anggota bomba memadamkan kebakaran rumah keluarga Zuheira. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


TIGA beranak sempat menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Kampung Tersusun, Kuala Jengal di Dungun terbakar, jam 5.40 petang tadi.

Zuheira Othman, 29, berkata, ketika kejadian, dia berada di dapur manakala dua anaknya masing-masing berusia empat tahun dan enam tahun sedang bermain di ruang tamu.

“Saya terhidu bau hangit sebelum terdengar bunyi letupan, sebaik ke ruang tamu, saya dapati api sedang marak di sebuah daripada bilik.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan barang, saya hanya membawa keluar anak untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya, Jefri Sham Abdul Rashid, 46, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang sedang bertugas.

Katanya, penduduk kampung membantunya menyelamatkan kereta dan motosikal miliknya yang di parkir di kawasan kediaman.

“Saya juga gagal menyelamatkan sedikit wang simpanan dan barangan kemas. Kami sekeluarga menumpang buat sementara di rumah saudara yang tinggal berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Jaswari Awang berkata, 12 anggota dan pegawai bersama dua jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kebakaran, jam 5.43 petang.

“Kami tiba di lokasi 37 minit kemudian. Kami juga dapat menyelamatkan sebuah rumah berhampiran daripada terbakar.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 11:06 PM