KHALID menunjukkan sebahagian dari batu nisan jenis batu laterit yang terdapat di Kampung Duyong. FOTO Mohd Hilmie Hussin
KHALID menunjukkan sebahagian dari batu nisan jenis batu laterit yang terdapat di Kampung Duyong. FOTO Mohd Hilmie Hussin
Mohd Hilmie Hussin


KIRA-KIRA 10 pasang batu nisan termasuk diperbuat daripada batu laterit di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong, Melaka, Khamis lalu, dipercayai dipindahkan pihak pemaju tanpa pemberitahuan kepada pihak berwajib.

Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad) tidak menolak kemungkinan penemuan batu nisan terbabit ada kaitan dengan beberapa projek pembesaran jalan dan pembinaan Hang Tuah Centre di Melaka.

Pengerusi Pesawad, Khalid Hussin berkata, ribuan kubur lama di sekitar Duyong dipercayai wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka berusia lebih 500 tahun menggunakan batu jenis laterit.

Menurutnya, sebahagian daripada kubur itu lenyap dan mungkin dialihkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan berkenaan.

“Ke mana perginya sebahagian batu nisan berkenaan sedangkan banyak kawasan pembangunan dan pembesaran jalan di situ asalnya adalah kubur lama.

“Saya hendak bertanya ke mana pihak kontraktor letakkan semua batu nisan laterit ini selepas selesainya semua projek. Adakah mereka letakkan di satu tempat atau buang begitu saja?,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, Kampung Duyong lama dipercayai wujud sejak 1400 lagi ketika era Kesultanan Melayu Melaka malah, pahlawan Melayu terkenal, Hang Tuah turut berasal dari kampung terbabit.

“Bapa Hang Tuah, iaitu Hang Mahmud mula membuka perkampungan ini sejak 1440 lagi, justeru tidak mustahil ramai kaum kerabatnya yang dikuburkan di sini.

“Saya berharap, agensi terbabit seperti Perzim (Perbadanan Muzium Melaka) dan Jabatan Warisan membuat penandaan terhadap kuburan lama terbabit kerana biarpun tiada bukti hitam putih mengatakan sesetengah kuburan ini milik pembesar tertentu tetapi sekurang-kurangnya ia diperoleh daripada bukti mulut orang lama,” katanya.

Katanya, antara kubur pembesar negeri yang didakwa berada di Kampung Duyong termasuk Bendahara Tun Perak, Tun Kudu, Tun Puteh, Tun Matang, Tun Kajang, Tun Kola, Tun Bahru, Hang Nadim dan lain-lain.

NSTP Khamis lalu, melaporkan kira-kira 10 pasang batu nisan termasuk sebahagiannya diperbuat daripada batu laterit yang dipercayai digunakan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, ditemui dalam keadaan berselerak di Lorong Bukit Ranting, Kampung Bukit Duyong, Melaka.

Seorang penduduk mendakwa menemuinya ketika membersihkan kawasan tanah semak di hadapan rumah bagi persediaan untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan anaknya.

Dalam pada itu, Khalid menawarkan semua batu nisan yang ditemui itu ditanam semula di satu kawasan kuburan lama berhampiran rumahnya di Kampung Duyong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 4:33 PM