LAPORAN portal berita Harian Metro 14 Januari lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro 14 Januari lalu.
Hasbi Sidek


PIHAK berkuasa diminta supaya istiqamah dalam membasmi restoran yang menggantung atau mempamerkan ayat suci al-Quran bagi memperdayakan pelanggan beragama Islam di negara ini.

Ini berikutan pembongkaran beberapa restoran nasi kandar yang didapati tidak mempunyai sijil halal selain melakukan penyamaran seolah-olah restoran berkenaan boleh dimasuki pelanggan Muslim.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM), Abdul Aziz Ismail, berkata, pihak berkuasa perlu memantau restoran yang dicurigai terutama yang dimiliki orang bukan beragama Islam dan premis menggajikan pekerja asing.

“Selepas pemeriksaan yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), kita mendapati banyak restoran yang tidak memiliki sijil halal, malah mereka turut menyalahgunakan ayat suci al-Quran sebagai penyamaran.

“Isu mengenai sijil halal ini sudah lama saya bangkitkan, namun ia dipandang sepi. Saya meminta supaya pihak berkuasa seperti KPDNHEP dan JAIN melakukan pemeriksaan secara berjadual dan tidak hanya tertumpu pada musim tertentu sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya boleh memberikan kerjasama untuk menyalurkan maklumat dan bersama-sama turun padang untuk mengesan restoran yang tidak mempunyai sijil halal dan premis yang dimiliki individu yang bukan beragama Islam.

“Dalam Islam, makanan halal dan bersih amat dititikberatkan kerana ia menjadi darah daging kita. Pengguna atau pelanggan memainkan peranan ketika memilih restoran untuk menjamu selera, jangan ambil sikap sambil lewa dalam hal ini.

“Justeru, saya harap pemeriksaan dan pemantauan perlu dilakukan sepanjang masa supaya pemilik premis mematuhi segala peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Sejak tular mengenai sebuah restoran yang menggunakan nama Islam, namun pemiliknya didapati bukan beragama Islam di Shah Alam, Selangor, susulan kejadian tampar pekerja restoran 1 Januari lalu, pihak berkuasa melakukan pemeriksaan hampir di semua negeri.

Pemeriksaan berkenaan membongkar pelbagai kesalahan yang dilakukan termasuk, premis yang menggunakan tangkal, pemilik restoran bukan beragama Islam, tidak memiliki sijil halal, pekerja mengalami luka pada jari menguli tepung dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 1:03 PM