PEMANGKU Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Saiful Azly Kamaruddin (tiga kanan) di sidang media kejayaan Operasi Mule Account di Menara KPJ, Jalan Tun Razak. FOTO Salhani Ibrahim
PEMANGKU Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Saiful Azly Kamaruddin (tiga kanan) di sidang media kejayaan Operasi Mule Account di Menara KPJ, Jalan Tun Razak. FOTO Salhani Ibrahim
Hasbi Sidek


HANYA 18 hari memasuki tahun 2019, kerugian yang dicatatkan membabitkan kes penipuan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) oleh sindiket di negara ini sudah mencecah RM441,000.

Turut mengejutkan apabila jumlah kerugian pada tahun lalu mencecah RM14.9 juta dengan peningkatan sebanyak RM3.3 juta berbanding tahun 2017.

Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan menghubungi mangsa menggunakan pelbagai medium sebelum meminta nombor TAC, kononnya tersalah memasukkan nombor telefon milik mangsa.

“Bagi tahun 2017 sebanyak 202 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian berjumlah RM11.6 juta manakala bagi 2018 sebanyak 392 kes membabitkan kerugian mencecah RM14.9 juta.

“Bagi tahun ini saja iaitu selama 18 hari, kami menerima 33 laporan dengan jumlah kerugian RM441,000,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, antara individu yang sering disasarkan sindiket adalah mereka yang sering membeli-belah atas talian dan gemar melayari laman web pornografi yang mana golongan ini banyak mendedahkan maklumat akaun bank dan nombor telefon di laman web.

“Mangsa akan menerima nombor TAC sebelum sindiket menghubungi mangsa sama ada melalui panggilan telefon atau mesej dengan menggunakan nombor telefon yang dipintas menggunakan VOIP. Sindiket akan meminta nombor TAC berkenaan kononnya wang sudah dipindahkan, namun nombor TAC tersalah hantar ke telefon milik mangsa.

“Saya ingin mengingatkan kepada orang ramai agar jangan sekali-kali menyerahkan nombor TAC yang diterima menerusi SMS kepada orang lain sekiranya tidak membuat sebarang transaksi, sebaliknya mereka perlu terus menghubungi bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 1:44 PM