BERNAMA

LEMBAGA dan pengurusan baharu Lembaga Tabung Haji (TH) membuat laporan polis ketiga berhubung akaun kewangan 2017 dan bagaimana representasi oleh eksekutif kanan yang membawa kepada pengumuman hibah yang bercanggah dengan Akta Tabung Haji 1995.

Dalam laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur TH mengenal pasti dua kertas kerja eksekutif dibentangkan kepada lembaga pengarah dalam dua mesyuarat khas lembaga pada 6 dan 9 Februari 2018.

“Kertas kerja eksekutif itu disediakan Datuk Rozaida Omar, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan disokong Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif kumpulan ketika itu.

“Kertas kerja itu mengandungi kenyataan dan representasi yang membawa kepada angka tidak betul dipaparkan dalam kenyataan kewangan itu yang diterima oleh lembaga,” kata TH dalam kenyataan.

Berdasarkan pada kenyataan kewangan yang dikatakan itu, lembaga mencadangkan kepada menteri bertanggungjawab yang kemudian meluluskan pengumuman untuk pengagihan “Hibah Tahunan sebanyak 4.5 peratus” dan “Hibah Haji sebanyak 1.75 peratus” yang bercanggah dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.

Kenyataan kewangan TH yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 ditandatangani pada 3 April 2018 oleh pengerusi ketika itu, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Johan bagi pihak lembaga TH dan Rozaida sebagai pegawai prinsipal bertanggungjawab sepenuhnya bagi pengurusan kewangan dan rekod perakaunan TH.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 7:22 PM