FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


PADAH melakukan khianat dengan memecahkan cermin kereta dan mengugut bekas teman wanita, seorang pemandu lori didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu terhadap P Gunaseelan, 30, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja kedua-dua pertuduhan dibacakan kepadanya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didenda RM4,000 gagal, manakala pertuduhan kedua, lelaki itu didenda RM2,000, sekiranya gagal membayar kedua-dua denda itu, tertuduh akan di penjara enam bulan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengkhianati dengan memecahkan cermin kereta dan dua lampu kereta Perodua Myvi milik B Uma Naomi, 30, dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan dengan mengugut ‘Aku bunuh ko (kau)’ kepada mangsa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Taman Rimba, Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur, pada 11 Januari lalu, 8 malam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ruzanna Razali, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Amin Abdullah.

Terdahulu, Muhammad Amin memohon denda minimum dengan alasan anak guamnya sudah insaf dan menanggung keluarga.

“Difahamkan kejadian berlaku disebabkan anak guam saya marah dengan bekas teman wanitanya yang tiba-tiba tidak mahu berkahwin dengannya,” katanya.

Ruzanna, bagaimanapun, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 3:56 PM