Amir Abd Hamid

[email protected]

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) bakal mendapat Ketua Pengarah baharu sekali lagi walaupun penyandang sedia ada Datuk Jamil Rakon belum sampai dua minggu menggantikan Datuk Seri Mustafar Ali yang dilantik Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang baru diwujudkan.

Sumber berkata, Jamil bakal digantikan dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkuat kuasa Isnin ini.

Bagaimanapun sumber yang juga pegawai kanan kerajaan tidak memperincikan jawatan baharu Jamil yang juga sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN.

Laporan media 4 Disember lalu memetik Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, rombakan besar-besaran yang dibuat pada Khamis itu proses biasa bagi perubahan jawatan dalam perkhidmatan awam.

“Pelantikan mereka berkuat kuasa Isnin ini dan ia adalah sebahagian daripada proses biasa pertukaran jawatan, mengisi kekosongan pegawai yang bersara dalam perkhidmatan kerajaan dan perubahan jawatan.

“Semua KSU ( Ketua Setiausaha), KP (Ketua Pengarah) dan SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) hadir menerima watikah pelantikan di pejabat KSN di Jabatan Perdana Menteri hari ini (Khamis minggu lalu),” katanya dalam petikan laporan media sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 1:26 PM