KUALA TERENGGANU 07 JANUARI 2019. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis perasmian Pejabat BERSATU Negeri Terengganu di Ladang Tok Pelam. NSTP/GHAZALI KORI
KUALA TERENGGANU 07 JANUARI 2019. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis perasmian Pejabat BERSATU Negeri Terengganu di Ladang Tok Pelam. NSTP/GHAZALI KORI
Rosli Zakaria dan Hanneeyzah Bariah Baharin


KERAJAAN tidak campur tangan dalam menentukan pengganti Yang di-Pertuan Agong dan menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Raja-Raja untuk membuat keputusan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan menghormati keputusan Sultan Muhamad V meletakkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan menyerahkan keputusan memilih pengganti kepada Majlis Raja-Raja.

"Itu soal raja-raja. Mereka yang tentukan. Kerajaan tidak campur tangan dalam perkara ini, kita terima sajalah apa keputusan Majlis Raja-Raja.

"Sama ada penggantinya ditentukan mengikut giliran atau apa, kita serahkan juga kepada Majlis Raja-Raja.

"Saya tak tahulah bagaimana mereka hendak tentukan (pengganti), sama ada melalui undi atau apa, terpulang pada raja-raja.

"Walaupun ikut adat mereka ada susunan mereka, tetapi mereka tidak terikat dengan susunan itu, mereka bebas buat keputusan lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu di Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengerusi BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan Terengganu.

Dr Mahathir juga berharap penggantinya dapat diumumkan secepat mungkin.

"Banyak khabar angin saya dengar sebelum Baginda umum letak jawatan, terkejut juga, tapi tak terkejut sangatlah.

"Kita harap pengganti Sultan Muhamad V sebagai Yang di-Pertuan Agong dapat diumumkan secepat mungkin," katanya sambil enggan mengulas ketika ditanya sekiranya beliau tahu sebab perletakan jawatan itu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut menasihatkan semua lapisan masyarakat terutama netizen di laman sosial supaya menghormati siapapun yang diputuskan oleh Majlis Raja-Raja sebagai pengganti Sultan Muhamad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

"Rakyat tidak ada hak tentukan siapa kena berhenti, siapa patut ganti. Kita terima sajalah apa keputusan raja-raja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 3:25 PM