Sharifah Mahsinah Abdullah


KERAJAAN negeri dan rakyat menerima peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong yang berkuat kuasa hari ini dengan hati terbuka.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, peletakan jawatan itu adalah hak baginda yang dilakukan mengikut peraturan ditetapkan.

“Baginda ikut peraturan semasa meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan baginda membuatnya secara rasmi.

“Semasa pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, ia diadakan secara rasmi dan baginda dihantar ke Kuala Lumpur.

“Sebagai ketua kerajaan negeri, saya akan berbincang perkara ini dengan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Bahagian Protokol Negeri bagi memikirkan tindakan sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Al-Hidayah dekat Kampung Laut di Tumpat, malam ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa hari ini.

Ditanya sama ada beliau terkejut dengan peletakan itu, Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, ketika mereka bertemu semasa solat Jumaat baru-baru ini, baginda tidak menunjukkan tanda-tanda (untuk meletak jawatan).

NSTP melaporkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dilaporkan berkata, peletakan jawatan baginda itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Katanya, peletakan sebagai Yang di-Pertuan Agong itu berkuat kuasa 6 Januari bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

Beberapa hari lalu, media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya mesyuarat khas Majlis Raja-raja membincangkan kedudukan baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 10:03 PM
Ahmad ditemui selepas menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Al-Hidayah, Kampung Laut. FOTO Zaman Huri Isa
Ahmad ditemui selepas menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Al-Hidayah, Kampung Laut. FOTO Zaman Huri Isa