Murid-murid Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian (3) bergambar bersama tiga watak kartun Mickey, Minie Mouse dan Robocarpoli di hari pertama persekolahan. FOTO Fathil Asri
Murid-murid Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian (3) bergambar bersama tiga watak kartun Mickey, Minie Mouse dan Robocarpoli di hari pertama persekolahan. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi


KEMUNCULAN watak utama animasi Robocar Poli di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, menggamit suasana ceria di hari pertama persekolahan.

Selain daripada karakter Robocar Poli, dua lagi karakter iaitu Minnie Mouse dan Mickey Mouse juga bersedia di pintu hadapan sekolah untuk menyambut murid baharu dan ibu bapa.

Guru Besar, Muzli Mustapha berkata, sejak empat tahun lalu, SK Kubang Kerian 3, menampilkan pelbagai maskot berbeza sebagai gimik pada hari pertama setiap kali sesi persekolahan bermula.

“Pada tahun ini, pihak sekolah menampilkan karakter Robocar Poli, Minnie Mouse dan Mickey Mouse untuk menyambut kedatangan 1,443 murid termasuk pra sekolah dan Tahun Satu.

“Kelainan yang dibuat ini sudah menjadi tradisi bagi sekolah kami selepas ia mula diperkenalkan oleh bekas guru besar sekolah ini, Seri Dewi Mohd Ibrahim,” katanya ketika ditemui pada hari pertama sesi persekolahan 2019, di Kota Bharu, hari ini.

Muzli berkata, gimik sebegini amat berkesan untuk mengurangkan rasa takut dan kebergantungan murid Tahun Satu kepada ibu bapa pada hari pertama mereka melangkah masuk ke alam persekolahan.

“Dalam masa sama, pihak sekolah juga mahu menerapkan konsep suka ke sekolah dan memberi rangsangan selepas mereka bercuti dalam tempoh yang lama,” katanya.

Seorang murid Tahun Satu, Ahmad Dani Akif Najib, 7, berkata, dia seronok apabila dapat melihat watak Robocar Poli secara lebih dekat apabila ia muncul secara mengejut di dewan terbuka sekolah itu.

“Ketika ibu dan ayah menghantar saya di depan pintu pagar sekolah pada pagi tadi, hanya watak Minnie Mouse dan Mickey Mouse yang menyambut kedatangan murid.

“Saya seronok bertemu kawan-kawan baharu dan apabila datang ke sekolah dikejutkan pula dengan tiga karakter dalam cerita animasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 11:42 AM