FARIDAH membetulkan tanda nama Muhammad Akil Zarif (kanan) dan Muhammad Akif Zikry (dua kiri) sambil diperhatikan Tuan Amsyar Rasul dan Tuan Ammar Rasul (tengah). FOTO Zaman Huri Isa
FARIDAH membetulkan tanda nama Muhammad Akil Zarif (kanan) dan Muhammad Akif Zikry (dua kiri) sambil diperhatikan Tuan Amsyar Rasul dan Tuan Ammar Rasul (tengah). FOTO Zaman Huri Isa
Hazira Ahmad Zaidi

SERAMAI 1,509 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, Kota Bharu teruja selepas ketibaan mereka pada hari pertama sesi persekolahan disambut dengan tiga maskot watak animasi.

Kemunculan tiga watak animasi iaitu Bugs Bunny, Pooh dan Pink Panther membuatkan pintu masuk sekolah berkenaan meriah dan riuh rendah dengan pelbagai gelagat murid yang mengambil kesempatan bergambar bersama maskot kesukaan mereka.

Guru Besarnya, Muzli Mustapha berkata, seperti tahun sebelum ini, pihak sekolah akan membawakan watak kegemaran kanak-kanak pada hari pertama sesi persekolahan sebagai daya penarik selain menghilangkan kesedihan terutama kepada murid Pra Sekolah dan Tahun Satu.

"Acara ini menjadi tradisi sejak 2015 hasil garapan idea daripada bekas guru besar, Seri Dewi Mohd Ibrahim yang sehingga kini diteruskan oleh mana-mana guru besar yang mengambil alih pengurusan pentadbiran di sekolah ini.

"Memandangkan sekolah ini adalah sekolah yang berprestasi tinggi, pada setiap tahun pendaftaran murid baharu melebihi kuota yang ditetapkan sehingga kami terpaksa menolaknya," katanya ketika ditemui pada hari pertama sesi persekolahan 2019, di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Kamaruzaman Dollah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kubang Kerian 3, Profesor Madya Dr Ariffin Nasir.

MASKOT watak Pooh, Bugs Bunny dan Pink Panther meraikan murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan. FOTO Zaman Huri Isa
MASKOT watak Pooh, Bugs Bunny dan Pink Panther meraikan murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan. FOTO Zaman Huri Isa

Turut mencuri tumpuan adalah dua pasangan kembar iaitu Tuan Ammar Rasul Tuan Azman dan Tuan Amsyar Rasul serta Muhammad Akil Zarif Mohd Zohor dan Muhammad Akif Zikry yang masing-masing berusia tujuh tahun.

Dalam kekalutan menguruskan murid baharu, pasangan kembar Muhammad Akil Zarif Mohd Zohor dan Muhammad Akif Zikry tertukar tag nama yang dipakai selepas nama mereka dipanggil oleh guru kelas.

Guru berkenaan, Faridah Mohd Daud berkata, ketika memanggil nama Muhammad Akif Zikry berdasarkan tag nama yang dipakai, dia menggelengkan kepala dan memberitahu itu adalah nama abangnya bukan namanya.

"Menyedari mereka tertukar tag nama, saya segera membantu untuk menukarkan tag nama dan pada masa sama wajah yang seiras turut menyebabkan saya sendiri pun keliru.

"Mungkin selepas ini, saya akan mengambil inisiatif dengan meletakkan pelekat warna yang berlainan di tag nama mereka supaya tidak tertukar," katanya.

Sementara itu, Muhammad Akif Zikry berkata, dia seronok apabila dapat melihat watak Pink Panther secara lebih dekat.

“Saya seronok bertemu kawan-kawan baharu dan apabila datang ke sekolah dikejutkan pula dengan tiga karakter dalam cerita animasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 12:38 PM