AGUS Tina Indayati Yatim, 34, (dua dari kiri) tidak dapat menahan sebak selepas rumah sewanya terbakar. FOTO Nurul hidayah Bahaudin/Bomba
AGUS Tina Indayati Yatim, 34, (dua dari kiri) tidak dapat menahan sebak selepas rumah sewanya terbakar. FOTO Nurul hidayah Bahaudin/Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


“SAYA tidak dapat menahan sebak apabila melihat anak-anak menangis kerana kelengkapan sekolah mereka musnah dalam kebakaran,” kata Agus Tina Indayati Yatim, 34, penghuni rumah di Kampung Pandan Dalam, Ampang, yang musnah dalam kebakaran, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, dua rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran terbabit, namun tidak membabitkan mangsa.

Agus berkata, ketika kejadian, dia sedang menggosok baju sebelum terdengar bunyi air jatuh pada zink sebelum bergegas melihat apa yang berlaku di bahagian stor rumah sewanya itu.

DUA rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu. FOTO Nurul hidayah Bahaudin/Bomba
DUA rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu. FOTO Nurul hidayah Bahaudin/Bomba

“Saya terkejut apabila melihat api di stor dan terus berlari mengejutkan anak-anak yang sedang tidur di dalam bilik. Suami yang sedang berehat di ruang tamu turut bergegas keluar dan meminta bantuan daripada jiran berhampiran.

“Dalam keadaan kelam-kabut, saya tidak sempat menyelamatkan barangan sekolah anak-anak. Namun, saya sempat membawa keluar beg mengandungi dokumen penting kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, kelengkapan persekolahan empat anaknya yang berusia enam hingga 16 tahun musnah dalam kebakaran itu.

“Semua kelengkapan mereka untuk mula bersekolah Rabu ini sudah disediakan, malah anak-anak nampak semangat memulakan sesi persekolahan nanti. Tapi malang bagi mereka kerana barang sekolah mereka musnah dalam kebakaran ini.

“Saya melihat anak-anak menangis kerana bimbang tiada kelengkapan untuk masuk ke sekolah nanti,” katanya yang memaklumkan mereka sekeluarga akan tinggal sementara di dewan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah Mohd Faizal Md Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.30 pagi tadi.

“Seramai 17 pegawai dan anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah dan Ampang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak sebelum api berjaya dikawal kira-kira lima minit kemudian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Mohd Faizal berkata, pihaknya berdepan kesukaran untuk memadamkan kebakaran itu kerana tiada pili air bomba dan kedudukan rumah dekat antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, tindakan pantas dilakukan berjaya mengelakkan api merebak ke rumah berhampiran yang terletak pada jarak hampir satu meter saja daripada kebakaran. Punca kebakaran itu masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 2:38 PM