Hazira Ahmad Zaidi


“MEREKA berdua sangat rapat dan saya tidak menyangka mereka pergi juga bersama,” kata Nur Zahri Mohamad, 38, bapa kepada adik beradik yang lemas di Sungai Pasir Peroh, Pasir Mas, semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, Muhammad Zulfitri Nor Zahri, 11 dan adiknya, Nur Afifah 8, lemas ketika mandi di kawasan berkenaan.

Mayat dua beradik ini ditemui di dasar sungai oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kelantan, 10 malam tadi.

Jenazah dua beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pahang, Pasir Mas, hari ini.

Nur Zahri berkata, dia tidak menyangka permintaan anak sulungnya untuk ke sungai sebelum bermula sesi persekolahan adalah petanda dia akan kehilangan dua anak sekali gus.

“Muhammad Zulfitri baru sahaja pulih dari berkhatan dan dia minta kebenaran saya untuk mandi di sungai bersama lima lagi adiknya sebelum dibawa ibunya, Syarmila Sutirman, 39.

“Saya tiada di lokasi ketika kejadian dan dimaklumkan Zulfitri cuba menolong adiknya Afifah yang lemas terlebih dahulu, sebelum dia juga dibawa arus.

“Beberapa hari sebelum ini mereka sudah mandi di situ, namun tidak menyangka semalam air pasang dan agak dalam ditambah dengan kawasan itu dijadikan tempat mengorek pasir,” katanya dalam ketika ditemui di pekarangan Bilik Forensik, Hospital Pasir Mas di sini.

Nur Zahri berkata, kedua- dua anaknya itu sangat rapat dengannya dan isteri.

“Biarpun masih kecil mereka rajin membantu ibunya menjaga adik-adik yang lain. Saya pasti akan merindui gelak tawa serta keletah manja mereka.

“Namun saya reda dengan apa yang terjadi kerana ini semua ketentuan Ilahi,” katanya.

Berita berkaitan

Dua beradik dikhuatiri lemas

[UPDATE] Dua beradik ditemui lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 10:49 AM