Iskandar Shah Mohamed; Ruwaida Md Zain; Norzamira Che Noh dan Faliq Lajim


LEBIH 1,000 peserta Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy menyertai solat jenazah ghaib dianjurkan Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) di Masjid Bandar Diraja, Klang, hari ini.

Solat jenazah ghaib itu diimamkan imam masjid, Mohd Azrun Tuniran selepas solat Asar berjemaah.

Selain GERAS, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyertai perhimpunan aman itu adalah Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM), Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang (ALBJ), Badan Amal Tarbiyah Sejagat (BATAS), Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia (SERUMPUN) dan Kebajikan Sejagat Malaysia (SEJAGAT).

Sebaik sahaja selesai solat jenazah ghaib, peserta perhimpunan berarak sambil berselawat sejauh 500 meter ke Dataran Seni Klang.

Menerusi perhimpunan aman berkenaan, penganjur menuntut pembelaan kematian Muhammad Adib dan menuntut serta memberi tempoh 40 hari kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Selain Waytha Moorthy, pihaknya mendesak supaya Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang negeri Selangor, V Ganabatirau, turut disingkirkan.

Pihak penganjur dilihat menggantung tiga kain rentang yang memaparkan tujuh perkara asas tuntutan perhimpunan GERAS selain gambar Muhammad Adib Mohd Kassim ‘Kami menuntut keadilan untuk Adib’.

Selain itu, terdapat kain rentang memaparkan gambar Waytha Moorthy bertulis ‘Kami Cintakan Kedamaian, Keamanan, Perpaduan, tetapi kami tuntut dan desak Menteri Perpaduan Letak Jawatan’.

Pada 17 Disember lalu, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institusi Jantung Negara (IJN).

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada 9.41 malam akibat mengalami kecederaan serius selepas diserang dan dipukul dalam insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 6:00 PM
PESERTA perhimpunan mengaminkan doa selepas menunaikan solat Asar serta solat jenazah ghaib di Masjid Bandar Diraja Klang ketika Perhimpunan Aman 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy'. FOTO Faiz Anuar.
PESERTA perhimpunan mengaminkan doa selepas menunaikan solat Asar serta solat jenazah ghaib di Masjid Bandar Diraja Klang ketika Perhimpunan Aman 'Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy'. FOTO Faiz Anuar.