DR Ahmad Samsuri (dua dari kiri) melihat kit bantuan banjir semasa majlis penyerahan daripada Ahmad Fakhrurrazi (dua dari kanan) kepada Che Adam (kiri) pada Majlis Makan Malam Repsol bersama Media di Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
DR Ahmad Samsuri (dua dari kiri) melihat kit bantuan banjir semasa majlis penyerahan daripada Ahmad Fakhrurrazi (dua dari kanan) kepada Che Adam (kiri) pada Majlis Makan Malam Repsol bersama Media di Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
Ahmad Rabiul Zulkifli


PENDUDUK di kawasan berisiko banjir di Terengganu dinasihat membuat persiapan berikutan gelombang banjir ke tiga dijangka melanda bermula pada 22 hingga 25 Disember.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, pertembungan hujan lebat dan air pasang besar dijangka akan berlaku dalam tempoh itu, sekali gus kawasan rendah berisiko tinggi mengalami banjir.

“Kami minta penduduk di kawasan berisiko termasuk penduduk di pesisir pantai supaya bersiap sedia untuk menerima arahan berpindah sekiranya berlaku banjir.

“Biarpun cuaca panas dan hujan bersilih ganti, namun persiapan tetap perlu dijalankan untuk kebaikan bersama kerana pertembungan hujan lebat dan air pasang besar dijangka berlaku,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Repsol Oil and Gas Malaysia Limited (REPSOL) bersama media di Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada majlis itu, Pengurus Kanan Perhubungan Awam REPSOL Ahmad Fakhrurrazi Arshad menyerahkan 50 kit bantuan banjir REPSOL kepada Che Adam.

Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Che Adam berkata, dia berharap lebih banyak syarikat swasta menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Beliau berkata, biarpun bantuan diperuntukkan kerajaan negeri sudah ada, bantuan diberikan pihak lain sedikit sebanyak membantu mangsa banjir di negeri ini.

“Kepelbagaian sumbangan meringankan beban dan tekanan emosi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini.

“Kami akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan arahan perpindahan ke PPS akan diberikan segera sekiranya banjir berlaku.

“Selain kawasan kerap berlaku banjir kilat, lokasi air bertakung turut menjadi perhatian APM dan turut dipantau sepanjang musim tengkujuh ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 10:05 PM