BEBERAPA penduduk di Kampung Pasir Hor, Kota Bharu mengharungi air banjir.
BEBERAPA penduduk di Kampung Pasir Hor, Kota Bharu mengharungi air banjir.
HM Digital

Kuala Nerus: Orang ramai terutama penduduk di kawasan berhampiran laut dan pernah dinaiki air diminta supaya bersiap sedia dengan kehadiran banjir gelombong kedua yang dijangka bermula 8 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, semua agensi terbabit sudah melakukan persiapan rapi untuk berdepan kehadiran banjir gelombang kedua itu.

“Dijangka akan berlaku fenomena air pasang besar pada tarikh berkenaan dan sekiranya hujan berlaku secara berterusan ia boleh menyebabkan banjir.

“Sehubungan itu, kita harap penduduk terutama di kawasan berisiko mengambil langkah berjaga-jaga sebelum gelombang kedua tiba,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gong Badak, di sini, semalam.

Turut menyertai lawatan semalam, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Rashid Harun dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Shahidan berkata, segala kelengkapan terutama bantuan makanan bukan saja mencukupi untuk mangsa banjir, malah melebihi daripada sepatutnya.

“Orang ramai tidak perlu panik kerana persiapan menyelamat dan anggota yang bakal dikerahkan sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“PPS juga akan dibuka jika perlu di sesebuah kawasan dan tumpuan akan diberikan di kawasan yang paling berisiko dan memerlukan,” katanya.

Pada lawatan itu, Shahidan sempat meluangkan masa lebih sejam bersama mangsa banjir di PSS SK Gong Badak terdiri daripada penduduk Taman Desa Tanjung Damai seramai 647 orang membabitkan 147 keluarga.

Berita berkaitan:

Dengus banjir

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 10:26 AM